Dulu pas kata haram pusat hiburan, sekarang hadkan waktu operasi
Gesaan Pemuda Pas baru baru ini agar kelab malam dan pub ditutup sehingga pukul 12 malam seolah olah mengkesampingkan perjuangan asal parti Islam itu sewaktu bergelar pembangkang.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, Pas dalam ceramah politik mereka berdekad dekad lalu pernah berjanji untuk mutup terus pusat hiburan dan bukan menghadkan waktu operasi sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Umno sejak Merdeka.
Katanya Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad sebelum ini dalam ceramah lantang mahu pusat hiburan ditutup namun tidak berbuat demikian selepas mendapat jawatan.
“Menteri agama sekarang kata akan pastikan semuanya ditutup. Sekarang mereka galakan pusat hiburan dibuka dan hadkan pukul 12 sahaja. Kalau dah buka nak tutup sampai pukul 5 pagi pun susah. Bila dah buka siapa nak buat penguatkuasaan?
“Kenapa kena susahkan penjawat awam seperti pihak bandaraya, polis untuk bertugas nak pastikan tutup pukul 12, ini idea kartun. Pas ini sudah melalut dan lari 100 peratus dari jiwa dan wajah ‘suci’ Pas.
“Pas pernah buat demonstrasi untuk tentang habis-habisan judi, kelab malam dan apa sahaja yang membawa manusia ke arah maksiat. Tetapi sekarang dia menggalakkan pula semua tempat maksiat dengan syarat pukul 12 tutup. Rakyat kecewa dengan Pas,” katanya.
Menurut calon Naib Presiden KEADILAN itu, rakyat pastinya menilai perjuangan Pas yang tidak lagi murni sebagaimana ketika dipimpin oleh Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat.
Katanya, ramai penyokong Pas turut kecewa melihat kegagalan parti itu melaksanakan janji Negara Islam mereka setelah memperolehi kuasa.
“Buruk sangat pada saya pendirian Pas ini, baik presidennya, pemudanya, ia mengecewakan rakyat Malaysia terutama terhadap menteri agama yang berjanji nak cegah maksiat.
“Pas ini dah boleh tukar nama, ini kerana Pas galakan maksiat dan benda-benda di luar batasan agama. Rakyat tak akan percaya dan termakan umpan Pas lagi” katanya.