Antara intipati ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung Khas Ahad lalu ialah memberi ingatan kepada pemimpin-pemimpin yang telah lama menjadi wakil rakyat agar sedia untuk digugurkan dalam PRU15 akan datang.
Katanya, mereka yang telah menjadi wakil rakyat selama empat atau lima haruslah bersedia dan berlapang dada untuk digantikan dengan pemimpin yang baru.
Mengambil kira kemenangan cemerlang BN di PRN Melaka dan Johor, memang tidak dinafikan bahawa antara penyumbang kepada kejayaan dalam kedua-dua PRN itu adalah kerana keberanian UMNO menampilkan ramai muka-muka baru sebagai calon.
Iltizam Zahid Hamidi untuk berbuat demikian memanglah sesuatu yang harus disanjung dan menunjukkan jiwa besar beliau sebagai Presiden UMNO.
Ini kerana jika kita lihat dalam UMNO sekarang, masih ramai pemimpin yang sudah lama menjadi wakil rakyat atau Ahli Parlimen, tetapi tidak pernah menunjukkan keinginan untuk berundur diri.
Setakat ini, hanya Nazri Aziz yang telah menjadi wakil rakyat sejak 1995 (di Chenderoh, Lenggong dan Padang Rengas) telah mengumumkan tidak mahu bertanding lagi pada PRU15 akan datang.
Tetapi, bagaimana dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain?
Zahid Hamidi sendiri telah menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak tahun 1995, seiring dengan Nazri yang telah mengumumkan akan bersara itu.
Pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO yang sudah lama menjadi Ahli Parlimen antaranya ialah Tengku Razaleigh Hamzah (sejak 1974), Najib Razak (sejak 1976), Annuar Musa sejak 1995 tapi menjadi menteri sejak 1990 atas tiket Senator), Shahidan Kassim (sejak 1986 hingga 1995, kemudian jadi Adun dan Menteri Besar Perlis antara 1995 hingga 2013, seterusnya dari 2013 hingga sekarang kembali semula sebagai Ahli Parlimen Arau), Tajuddin Abdul Rahman (sejak 2008) serta Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjadi Ahli Parlimen Putrajaya sejak 2004.
Adakah Zahid Hamidi sedia menggugurkan mereka itu?
Sediakah juga pemimpin lama yang patut diundurkan itu menamakan pengganti mereka di kawasan Parlimen masing-masing?
Lebih daripada itu, adakah Zahid Hamidi juga sedia berjiwa besar menggugurkan dirinya sendiri dengan turut memilih tidak bertanding lagi serta menamakan calon baru bagi menggantikan tempatnya?
Andai itu berani dilakukan dan Zahid Hamidi mengotakan apa yang dikatanya, memang tidak dinafikan UMNO akan berada di laluan yang betul untuk menuju kemenangan dalam PRU15 akan datang.
Sebahagian besar kunci kemenangan BN ada di tangan beliau selaku Presiden UMNO.
Benar-benar besarkah jiwa Zahid Hamidi? – ShahbudinHusin 18/05/2022.