PETALING JAYA: Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri hingga 7 malam hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan dimuat naik di Twitter memaklumkan antara negeri terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor , Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah.
Di Kedah ia meliputi kawasan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Selangor membabitkan kawasan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Sementara itu, di Johor ia dijangka membabitkan kawasan Segamat dan Mersing, dan Sarawak meliputi kawasan Miri (Marudi) dan Limbang , manakala Sabah di kawasan Pedalaman (Sipitang), Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Telupid).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.