15 Mei 2022
Dr. Zaliha Mustafa
Pengerusi
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP)
Parti Keadilan Rakyat
A-1-09 Merchant Square
Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya.
KELEMAHAN SISTEM PENGUNDIAN YANG PERLU DIPERBAIKI SEGERA
Setelah proses pengundian secara fizikal berlangsung untuk enam buah negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Pahang), beberapa kelemahan ketara telah berlaku yang membawa risiko menjejaskan integriti keputusan pemilihan kali ini.
Sementara saya cukup faham bahawa kelemahan-kelemahan ini berpunca dari keputusan pimpinan parti yang berkeras untuk menjalankan pemilihan sedangkan tempoh masa yang diberikan kepada JPP tidak mencukupi, tanggungjawab itu kini perlu digalas oleh JPP untuk menyelesaikan semua masalah-masalah ini.
Saya senaraikan semua masalah yang di kumpul dari pelbagai bantahan rasmi yang telah pun dikemukakan kepada JPP di Lampiran A untuk diteliti dan diambil tindakan dengan segera.
Sebagai seorang usahawan tech yang memperkenalkan beberapa produk dan aplikasi teknologi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, saya faham bahawa masa yang diberikan kepada JPP (sekitar 2-3 bulan) adalah tidak mencukupi untuk membangunkan dan menguji aplikasi pengundian ADIL dengan sepenuhnya. Aplikasi undian fizikal dan atas talian ADIL sewajarnya diuji dengan jumlah pengguna yang jauh lebih besar berbanding keadaan sekarang yang mana sistem dipakai (deployed) tanpa diuji secara menyeluruh.
Tambahan lagi, daftar keanggotaan yang bermasalah dan mempunyai banyak data yang bertindih atau tidak lengkap akan menyebabkan mana-mana sistem yang dibangunkan akan bermasalah kerana apabila satu nombor kad pengenalan dimasukkan, sistem tidak dapat memanggil data yang tepat kerana terkeliru dengan data yang bertindih/tidak lengkap.
Walaupun saya faham masalah ini diwariskan oleh ibu pejabat kepada JPP, masalah itu ditanggung oleh JPP sepenuhnya.
Saya mohon supaya JPP membawa perkara ini kepada Presiden, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya satu keputusan yang adil kepada semua anggota diambil. Saya mengambil pendirian sepanjang kempen pemilihan ini, adalah profesional untuk tidak mengambil bahagian dalam apa-apa keputusan parti yang boleh mempengaruhi kempen pemilihan kerana itu tidak adil kepada calon-calon lain. Oleh itu, jalan yang adil dan profesional ialah membuat aduan rasmi kepada JPP untuk diputuskan memandangkan JPP diberikan mandat mengikut Perlembagaan menjadi badan bebas untuk mengendalikan pemilihan.
Saya memohon supaya JPP mempertimbangkan menangguhkan pengundian fizikal bagi negeri berbaki untuk memastikan semua sistem adalah hampir sempurna dan telah diuji sepenuhnya untuk mengelakkan pembatalan, penangguhan dan kekecohan yang menyusahkan anggota biasa.
Yang beramanah untuk bersuara
RAFIZI RAMLI
Calon Timbalan Presiden
Salinan Kepada:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Presiden
LAMPIRAN A
Berikut adalah masalah-masalah yang telah dilaporkan di kebanyakan pusat mengundi sejak hari Jumaat (13 Mei 2022) yang lepas:
1. Pengundi tidak diberikan sebarang slip (sama ada kod QR dan seumpamanya) yang menghadkan agar mereka mengundi sekali. Pengawas JPP hanya menyemak maklumat keanggotaan, selepas itu pengundi dibenarkan masuk tanpa pemantauan. Sistem undian ADIL membenarkan sesiapa untuk memasukkan nombor kad pengenalan dan mengundi seberapa banyak kali. Keadaan ini dirakamkan dalam satu video yang berlaku di Cabang Tanah Merah dan bukti ini telah dihantar kepada JPP.
2. Kelemahan sistem ini membuka kepada risiko penipuan apabila seorang pengundi boleh membawa satu senarai anggota dengan nombor kad pengenalan dan mengundi berkali-kali bagi pihak pengundi lain.
3. Apatah lagi apabila jumlah pengawas tidak mencukupi dan pengundi yang berniat jahat boleh bolos dan mengundi berkali-kali.
4. Sistem undi fizikal ADIL juga menggunakan dua versi iaitu versi tablet dan versi laman sesawang (web version). Saya dimaklumkan bahawa versi laman sesawang belum disambung dengan pangkalan data keanggotaan yang lengkap hingga menyebabkan nama anggota tidak ada dan dikategorikan sebagai undi ragu. Ini menimbulkan kemarahan anggota kerana mereka telah menjadi anggota yang lama tetap nama tidak ada dalam senarai. Ini berlaku di beberapa cabang termasuk Johor Bahru, Indera Mahkota dan cabang lain.
5. Oleh kerana versi tablet masih belum stabil dan disesuaikan dengan muatan pelayan (server load) dan kelajuan internet, di banyak tempat undian dilakukan secara offline di tablet, iaitu undi dimasukkan tetapi kekal di peranti. Data hanya dimuat naik kemudian apabila disambung ke internet yang menimbulkan risiko undi hilang (atas alasan hilang dalam proses muat naik ke internet apabila tablet disambung ke internet).
6. Dalam pemilihan yang lepas, ada 20,000+ undi sebegini yang hilang atas alasan data hilang semasa dimuat naik ke internet. Saya menjadi mangsa apabila sebahagian besar cabang-cabang yang mengundi saya (termasuk Pandan, Selayang, Pensiangan dan lain-lain) mengalami masalah ini sedangkan saya hanya kalah sekitar 3,000 undi sahaja (mengikut data akhir).
7. Risiko bahawa perkara ini akan berlaku sekali lagi sangat tidak boleh diterima. Apatah lagi kali ini akan ada beberapa sumber data yang berlainan iaitu undian atas talian di telefon pintar anggota, undian di laman sesawang, undian di tablet yang bersambung dengan internet dan undian di tablet secara offline.
8. Ini bermakna keputusan akhir akan dimuktamadkan secara manual dengan menggabungkan undian dari (sekurang-kurangnya) empat sumber data yang berbeza. Apa-apa proses manual yang melibatkan data dan penggabungan data akan membuka kepada risiko penipuan dan manipulasi.
9. Oleh kerana JPP tidak mengeluarkan sebarang slip yang mengesahkan kehadiran anggota, anggota tidak boleh membandingkan jumlah yang keluar mengundi dengan jumlah undi yang direkodkan oleh sistem. Setakat ini, banyak cabang telah membantah bagaimana jumlah yang keluar mengundi adalah ratusan orang tetapi jumlah yang direkodkan di dalam sistem adalah terlalu sedikit.
10. Saya merasakan jumlah itu sedikit kerana JPP perlu menggabungkan data secara manual sebelum menunjukkan jumlah muktamad, tetapi perbezaan di antara jumlah yang keluar dengan jumlah yang direkodkan ini sudah tentu akan membuka ruang kepada pertikaian, perbalahan dan kontroversi di kemudian hari.
11. Saya juga menerima banyak laporan bahawa pengawas JPP datang dari negeri yang sama dan dipilih oleh orang-orang tertentu sahaja kerana tugas itu diserahkan kepada Pengerusi MPN. Di Kelantan contohnya, ramai pengawas adalah dari satu tempat yang dikaitkan dengan seorang calon yang turut bertanding di peringkat cabang. Ini berbeza dengan pemilihan-pemilihan lepas yang mana pengawas datang dari negeri dan kawasan berbeza untuk mengelakkan pengawas berat sebelah, seperti banyak dakwaan yang berlaku sekarang.