PETALING JAYA: Masa depan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tidak menentu selepas Umno sebulat suara meluluskan usul untuk menangguhkan pemilihan parti itu sehingga selepas pilihan raya umum (PRU).
Seorang penganalisis politik percaya keputusan itu terus meletakkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di posisi kuasa dan membuka laluan kepada “puak arus perdana” dalam parti itu untuk menggantikan Ismail akhirnya.
Bagaimanapun seorang lagi penganalisis berkata, masa depan Ismail kini terjamin kerana parti itu sudah menamakannya sebagai calon perdana menteri untuk PRU akan datang dengan tiada pencabar lain kelihatan.
Semalam, Umno sebulat suara mengundi untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga 18 bulan atau sehingga enam bulan selepas PRU.
Pemilihan parti itu untuk penggal 2021-2023 sudah ditangguhkan dari 30 Jun 2021 dan sepatutnya diadakan menjelang 30 Disember tahun ini.
Penangguhan selanjutnya, yang perlu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, akan menyaksikan Zahid kekal sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon PRU.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pindaan perlembagaan itu bermakna tempoh Ismail menjadi perdana menteri sudah ditetapkan.
“Umno akan menang agak besar (pada PRU) kali ini, jadi semua ahli Parlimen baharu Umno ini akan setia kepada Zahid dan puak arus perdana Umno,” yang katanya turut termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak.
“Ini bermakna tempoh Ismail pada dasarnya sudah ditetapkan. Mereka tidak menyenanginya secara terang-terangan. Jadi mereka mungkin menggantikannya, sama ada antara mereka sendiri atau seseorang yang mereka sukai selepas ini.”
Namun Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Zahid atau Najib secara terbuka mengakui tidak berhasrat untuk bertanding jawatan perdana menteri.
Majlis Kerja Tertinggi Umno sebulat suara bersetuju mencadangkan Ismail sebagai calon perdana menteri berikutnya untuk BN.
Azmi berkata, Ismail merupakan antara tiga naib presiden Umno yang menyokong usul meminda perlembagaan parti dibentangkan oleh seorang lagi Naib Presiden Umno, Khaled Nordin.
“Ini menunjukkan walaupun beliau ialah naib presiden…kedudukannya sebagai perdana menteri berikutnya terjamin.”
PRU15 perlu diadakan menjelang pertengahan September 2023, tetapi Umno mendesak ia diawalkan bagi memanfaatkan momentum yang diperolehinya selepas kemenangan bergaya dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.