Kenyataan Media
29 Mac 2022
Menteri Kesihatan kata, “Bila saya mengambilalih KKM, saya buat
keputusan untuk pastikan bahawa pengurusan aplikasi MySejahtera dibawa ke KKM
sebab saya dapati bahawa selama tempoh pandemik, tiada kontrak antara pihak
KPISoft dengan kerajaan”.
Kenyataannya itu juga bermaksud bahawa kontrak rundingan dengan
KPISoft/Entomo, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi MySejahtera
hanya bermula saat beliau menjawat jawatan tersebut pada bulan Ogos 2021, iaitu
16 bulan setelah aplikasi MySejahtera diluncurkan. Maksudnya selama 16 bulan
kerajaan bersama dengan KPISoft/Entomo mengawalselia penggunaan dan data
aplikasi MySejahtera tanpa sebarang perjanjian.
Sehingga saat ini persoalan tentang pemilikan aplikasi
MySejahtera dan datanya terus kabur meski ada cubaan dari pihak menteri untuk
menjelaskannya.
Menurut laporan, KPISoft/Entomo adalah 100% milik sebuah entiti
Singapura iaitu Entomo Pte Ltd berdasarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Ini membimbangkan tatkala kerajaan Malaysia telah melibatkan
entiti asing tanpa kontrak atas tujuan CSR untuk membangun dan mengurus
perisian yang mengumpul data peribadi dan sensitif rakyat Malaysia.
Saya juga terkejut bahawa Majlis Keselamatan Negara pada bulan
April 2020 telah membenarkan entiti asing untuk membangun dan mengurus aplikasi
yang sangat penting kepada kepentingan keselamatan negara yang tidak hanya
punya akses kepada maklumat kesihatan dan peribadi tanpa perjanjian yang
bertulis, tapi mempunyai pemilikan ke atas kerahsiaan dan data aplikasi
tersebut.
Dari menjelaskan persoalan-persoalan ini, kabinet kini sedang
mempertimbangkan untuk menganugerahkan MySJ Sdn. Bhd. kontrak secara runding
terus untuk aplikasi MySejahtera. Menteri Kesihatan gagal untuk menjawab soalan
saya tentang tender terbuka dalam hal ini, dan ini membawa maksud terdapat
aspek yang tersembunyi dari pengetahuan umum tentang MySejahtera.
Tidak mungkin rakyat akan tahu data apa yang telah disimpan dan
bagaimana ia digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu oleh entiti asing ini.
Menteri bertanggungjawab dan kabinet boleh saja menafikannya, namun sekiranya
mengambilkira bahawa tidak ada sebarang perjanjian yang telus bermula dari
bulan April 2020, rakyat Malaysia wajar untuk mempunyai syak wasangka dan
berasa bimbang.
Rakyat Malaysia mahu tahu di manakah data itu disimpan? Apakah
ia disimpan di dalam persekitaran yang selamat dengan akses yang terhad?
Mekanisme apa yang digunapakai bagi mengelakkan pihak ketiga dari mengakses dan
mencuri data mereka? Apa jenis perlindungan yang rakyat ada bagi mengelakkan
data itu disalahguna yang akan mengakibatkan mereka dianiaya, ditipu dan
di-diskriminasi?
Saya kini menggesa sebuah siasatan yang komprehensif oleh
Parlimen dimulakan bagi mengenalpasti segala perihal melibatkan MySejahtera
bagi memaknai konsep ketelusan dengan maksud kerahsiaan data peribadi
dilindungi dari watak-watak yang tamak yang hanya mahu mencari keuntungan dari
data peribadi rakyat Malaysia.
ANWAR IBRAHIM