MySejahtera: PAC akan mula prosiding, KJ dan Tengku Zafrul dua saksi terawal - Wong Kah Woh

 

Firdaus Azil
MySejahtera: PAC akan mula prosiding, KJ dan Tengku Zafrul dua saksi terawal - Wong Kah Woh
PAC berpandangan isu berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera perlu dijelaskan secara telus di hadapan Jawatankuasa tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memutuskan untuk memulakan prosiding berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera pada pertengahan April ini.
Pengerusinya Wong Kah Woh dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAC berpandangan isu berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera ini perlu dijelaskan secara telus di hadapan Jawatankuasa tersebut.
Katanya lagi, prosiding itu perlu diadakan demi kepentingan rakyat dan negara, khususnya mengenai isu pelantikan sebuah syarikat swasta sebagai pengendali aplikasi MySejahtera secara rundingan terus, serta kos yang terlibat.“Tambahan pula, ia membabitkan isu berhubung keselamatan data peribadi rakyat sekali gus mengelakkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas maklumat peribadi rakyat.
“Maka, adalah amat wajar untuk PAC mengadakan prosiding berhubung isu aplikasi MySejahtera selaras dengan punca kuasa Jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut “...apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa...,” katanya.
Mengulas lanjut, Wong berkata, PAC akan memanggil Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri untuk prosiding berkenaan.
Sebagai permulaaan, jelasnya lagi, dua saksi terawal aitu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan dipanggil untuk hadir di hadapan PAC.
“Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Selain itu, Wong berkata, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2), serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982, dalam mengendalikan prosiding tersebut.
Media sebelum ini melaporkan desakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, supaya kerajaan menjelaskan dakwaan penglibatan MySJ Sdn Bhd dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.
Mohamad berkata, walaupun MySejahtera adalah aplikasi yang membantu dan bermanfaat, dakwaan pelantikan entiti persendirian, MySJ sebagai syarikat yang akan menguruskan aplikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya adalah sesuatu yang membimbangkan.
Antara perkara dibangkitkan adalah mengenai pelantikan MySJ melalui mekanisme rundingan terus dan bukannya secara tender terbuka.
Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menggesa Parlimen menjalankan siasatan yang komprehensif bagi mengenal pasti segala isu berkenaan MySejahtera.
Beliau dalam satu kenyataan di Facebook menegaskan, ia bagi merungkai sebarang ketidaktelusan dan melindungi data peribadi rakyat Malaysia daripada pihak tamak yang hanya mahu mencari keuntungan.
Sementara itu, Khairy memberi jaminan akan menjelaskan secara terperinci berkenaan persoalan dibangkitkan beberapa pihak mengenai pelantikan MySJ Sdn Bhd sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera, di Dewan Negara, Khamis i(Mac 31) ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau telah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim untuk membenarkan satu usul dibahas pada Khamis ini memandangkan isu melibatkan data peribadi adalah perkara penting.
"Saya akan jawab semua soalan di Dewan Negara, tiada isu bagi saya. Tidak ada apa-apa disembunyikan,” katanya lagi.

No comments: