PAC, Parlimen, Kabinet setuju teruskan projek LCS

 


Hishammuddin Hussein berkata, perkara paling penting dalam isu LCS
 adalah kapal yang dipersetujui dan dirancang itu perlu diserahkan
 kepada TLDM. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Parlimen dan Kabinet bersetuju meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata kaedah projek itu diteruskan akan diumumkan selepas Kabinet membuat keputusan akhir.

Beliau berkata, perkara paling penting dalam isu LCS itu adalah kapal yang dipersetujui dan dirancang perlu diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kedua, ia juga bagi memastikan syarikat-syarikat yang terlibat dengan pihak berkepentingan mendapat pembelaan, lebih-lebih lagi mereka yang bekerja di vendor, di mana ramai antaranya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya menurut laporan Bernama.

Hishammuddin berkata, jika isu LCS tidak diselesaikan, ia mungkin menjejaskan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang akan memberi kesan kepada pencarum.

Beliau turut memaklumkan perbincangan beliau dengan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parliy yang menyentuh isu LCS masih berterusan sehingga kini.

LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM untuk memperkemaskan aset angkatan laut negara dan semua enam kapal yang dirancang berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis, Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).

Sementara itu, berkaitan jet pejuang F/A-18D (Hornet) dari Kuwait, Hishammuddin berkata, Malaysia sedang merancang dan dalam perbincangan untuk melihat pemberhentian penggunaan oleh negara itu.

“Perkara itu masih lagi berjalan, tetapi ia melibatkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Kuwait. Jika diizinkan, ia akan berlaku dan ia akan menambah nilai kepada pelan jangka pendek kita,” katanya.

Sebelum ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan dalam proses untuk perolehan sejumlah pesawat pejuang F/A-18D (Hornet) dari Kuwait.

No comments: