Syarikat Singapura kendalikan MySejahtera: Lakukan siasatan menyeluruh - Anwar


 

Kontroversi mengenai pengendalian aplikasi MySejahtera yang memantau pergerakan rakyat Malaysia bagi mengesan kontak Covid 19 semakin memanas.

Terbaharu Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertanyakan mengenai tidak wujudkan perjanjian bertulis di antara kerajaan Malaysia dan syarikat berkenaan pada peringkat awal pengoperasiannya.

"Menteri Kesihatan kata, “Bila saya mengambilalih KKM, saya buat keputusan untuk pastikan bahawa pengurusan aplikasi MySejahtera dibawa ke KKM sebab saya dapati bahawa selama tempoh pandemik, tiada kontrak antara pihak KPISoft dengan kerajaan”.

"Kenyataan itu juga bermaksud kontrak rundingan dengan KPISoft/Entomo, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi MySejahtera hanya bermula saat beliau menjawat jawatan tersebut pada bulan Ogos 2021, iaitu 16 bulan setelah aplikasi MySejahtera diluncurkan.

"Maksudnya selama 16 bulan kerajaan bersama dengan KPISoft/Entomo mengawalselia penggunaan dan data aplikasi MySejahtera (selama itu) tanpa sebarang perjanjian," katanya dalam satu kenyataan.

Ketiadaan perjanjian itu, kata Anwar merupakan sesuatu yang serius dan menimbulkan dakwaan boleh berlakunya penyalahgunaan data maklumat peribadi di dalam MySejahtera.

Begitu juga, kata Ahli Parlimen Port Dickson tersebut, persoalan tentang pemilikan aplikasi MySejahtera yang terus kabur meski ada cubaan dari pihak menteri untuk menjelaskannya.

Memburukkan keadaan, KPISoft/Entomo pula adalah 100% syarikat milik Singapura iaitu Entomo Pte Ltd berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

"Ini membimbangkan tatkala kerajaan telah melibatkan entiti asing tanpa kontrak atas tujuan CSR, untuk membangun dan mengurus perisian yang mengumpul data peribadi dan sensitif rakyat Malaysia.

"Saya juga terkejut Majlis Keselamatan Negara pada bulan April 2020 telah membenarkan entiti asing untuk membangun dan mengurus aplikasi yang sangat penting kepada kepentingan keselamatan negara, yang tidak hanya punya akses kepada maklumat kesihatan dan peribadi tanpa perjanjian yang bertulis, tapi mempunyai pemilikan ke atas kerahsiaan dan data aplikasi tersebut.

"Dari menjelaskan persoalan-persoalan ini, kabinet kini sedang mempertimbangkan untuk menganugerahkan MySJ Sdn. Bhd. kontrak secara runding terus untuk aplikasi MySejahtera.

"Menteri Kesihatan gagal untuk menjawab soalan saya tentang tender terbuka dalam hal ini, dan ini membawa maksud terdapat aspek yang tersembunyi dari pengetahuan umum tentang MySejahtera," katanya.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, tidak mungkin rakyat akan tahu data apa yang telah disimpan dan bagaimana ia digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu oleh entiti asing

Apatah lagi, kata Anwar, tidak ada sebarang perjanjian yang telus bermula dari April 2020 dan rakyat Malaysia wajar untuk mempunyai syak wasangka serta berasa bimbang.

"Rakyat mahu tahu di manakah data itu disimpan? Apakah ia disimpan di dalam persekitaran yang selamat dengan akses yang terhad? Mekanisme apa yang digunapakai bagi mengelakkan pihak ketiga dari mengakses dan mencuri data mereka?

"Apa jenis perlindungan yang rakyat ada bagi mengelakkan data itu disalahguna yang akan mengakibatkan mereka dianiaya, ditipu dan di-diskriminasi?" tanyanya

Justeru, Anwar menggesa sebuah siasatan yang komprehensif dijalankan oleh Parlimen bagi mengenalpasti segala perihal melibatkan MySejahtera.

"Siasatan ini bagi memaknai konsep ketelusan dengan maksud kerahsiaan data peribadi dilindungi dari watak-watak yang tamak, yang hanya mahu mencari keuntungan dari data peribadi rakyat Malaysia," katanya lagi.