PETALING JAYA: Pendedahan isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak khususnya yang masih kecil tidak boleh diambil mudah oleh setiap ibu bapa.
Bapa kepada kanak-kanak perempuan 11 tahun yang dipercayai menjadi mangsa cabul seorang pemandu van sekolah berkata, penting untuk ibu bapa menanam kesedaran kepada anak terhadap bahaya gangguan seksual.
“Pendedahan pasal seksual ini jangan bawa main, lagi-lagi bab anak perempuan, kena ‘alert’. Selalu tanya, selalu bagi ruang pada mereka supaya tak malu dan tak takut untuk ceritakan pada kita,” katanya di Facebook.
Lelaki itu berkata, ibu bapa, mangsa atau ahli keluarga yang terlibat tidak boleh hanya berdiam diri dalam isu gangguan seksual, kanak-kanak khususnya perlu dibiasakan dan berani untuk bercerita berkenaan isu seksual.
“Setakat kena pegang tangan satu kesalahan ke? Kena tepuk punggung ini kira gangguan seksual ke? Kena gosok-gosok peha ni kesalahan berat ke? Pegang dada je ke baru dipanggil cabul?
“Ramai keliru dan tak pernah tahu pun, akhir sekali bila dah baca segala pendedahan. Baru teringat, kita dulu pun pernah kena situasi macam ni.
“Dengan ustaz sekolah, dengan ‘driver’ bas, dengan ramai orang tapi tak pernah tahu pun ini satu kesalahan berat. Kita cuma keliru waktu itu dan akhir sekali ambil pendedahan jarakkan diri sahaja, tidak beritahu siapa-siapa,” luahnya.
Menerusi paparan video dia menampar suspek, lelaki itu berkata tindakan berkenaan salah, namun baginya apa dilakukan sebagai peringatan dan pengajaran.
“Ya memang salah, saya pukul tak lebih pun, lebih pada peringatan pada dia,” katanya.
Menurutnya, perlu diingatkan kepada mangsa bahawa kebanyakan pesalah seks bijak bermain dengan sentimen, mereka akan membawa watak seseorang yang baik dan penyayang membuatkan mangsa timbul rasa serba salah.
“Psikologi pasal seksual ni, ‘predator’ ini akan mainkan sampai kita keliru. Dia akan bawa watak penyayang, bawa watak sebagai orang yang jaga kita, yang baik sangat. Bila dia raba kita, kita jadi serba salah, jadi tak menentu.”
Ketika dihubungi FMT, lelaki itu berkata pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Seremban 2 dan suspek ditahan, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban Nanda Maarof, berkata siasatan awal mendapati lelaki berumur 41 tahun berkenaan mengaku mencabul mangsa.
“Kes disiasat bawah Seksyen 14 (a) Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku (melakukan kesalahan itu),” katanya dalam kenyataan.
Menerusi laporan polis dibuat pihak keluarga mangsa yang dilihat FMT, mangsa mendakwa episod itu bermula apabila pemandu itu mula memujinya sebagai cantik dan menyentuh pipinya dalam van ketika menghantarnya pulang dari sekolah di Seremban, pada 28 Mac.
Keesokan harinya, ibu mangsa mendakwa bahawa pemandu itu, memujuk anaknya duduk di sebelahnya dalam kenderaan berkenaan, sambil memuji anaknya sebagai istimewa, dan turut meminta mangsa menyimpan nombornya dan “menambahnya” di WhatsApp.
“Selepas itu, dia (pemandu) menggosok tangan anak perempuan saya dua kali, mendekat, dan menggosok kaki kanannya. Anak perempuan saya mendedahkan kejadian ini kepada saya sambil menangis dan dia trauma dengan kejadian itu,” menurut laporan itu.