Mujahid alu-alukan Rafizi aktif semula dalam politik

 

Mujahid alu-alukan Rafizi aktif semula dalam politik


Di sebalik tanggapannya bahawa ada pihak yang akan tidak senang dengan kemunculan semula dalam politik, Amanah bahkan mengalu-alukan Rafizi Ramli untuk berbuat demikian.

Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata siapa sahaja yang meyakini bahawa negara ini perlu ke hadapan dan membentuk kerajaan yang kuat dan berintegriti, mereka sentiasa dialu-alukan.

“Cita-cita Amanah amat jelas iaitu untuk melihat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan berintegriti, bebas sentimen perkauman dan kebencian agama.

“Justeru sesiapa sahaja yang boleh mencapai hasrat tersebut, termasuklah Rafizi, mereka sangat-sangat kita alu-alukan.

“Kita juga tahu, Rafizi telah membuktikan komitmen dia dan Amanah yakin dengan idea-idea yang ada pada dia dapat membantu apa yang telah dibina selama ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengenai isu dalaman PKR – jika timbul – pula, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Amanah menganggap mereka tidak berhak untuk campur tangan.

Katanya Amanah melihat dari suduh siapa yang boleh memperkukuh objektif Pakatan Harapan (PH) dan ia memang perlukan pembaharuan dari semasa ke semasa.

Jika Rafizi dapat membantu cita-cita tersebut, katanya, maka tidak ada sebab untuk Amanah menolak langkah tersebut.

Mujahid berkata demikian mengulas kemungkinan kepulangan semula bekas ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli ke dalam politik secara aktif.

Kemungkinan Rafizi membuat kemunculan semula itu berlaku ketika PKR kian menghampiri proses pemilihan parti.

Rugi kalau sisihkan diri

Untuk rekod, PKR akan mengadakan pemilihan pada April tahun ini.

Sebelum berundur sepenuhnya daripada politik pada penghujung 2019, Rafizi merupakan watak yang berpengaruh dalam PKR dan dianggap salah seorang penasihat yang paling diyakini presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, turut mengalu-alukan kemungkinan tersebut.

Kata Mahfuz, adalah satu kerugian pada negara ini jika ada pihak yang cuba menyisihkan diri dalam politik negara.

“Kami sangat mengalu-alukan untuk Rafizi kembali, sebab bagi saya setiap rakyat Malaysia mesti mengambil bahagian dalam politik.

“Mereka tidak boleh menyisihkan diri, sebab jika pada akhirnya jika ia kita menyisihkan diri, yang akan rosak ialah negara ini kerana kita membiarkan ia diurus oleh pihak yang tidak betul.

“Jadi, kalau Rafizi berhasrat untuk kembali itu satu yang wajar dan itu sangat dialu-alukan.

“Kami di Amanah tidak ada apa-apa masalah,” katanya.

Tambah ahli parlimen Pokok Sena itu lagi Amanah juga sedia mengalu-alukan pandangan radikal sama ada daripada Rafizi atau pihak lain yang mahu melakukan perubahan.

Katanya apa yang penting ialah sesuatu pemikiran itu perlu kreatif dan perlu diwacanakan bersama bagi mendapatkan keputusan terbaik.

Turut mengalu-alukan kemungkinan kepulangan Rafizi dalam politik ialah Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasbie Muda.

“Kami tidak campur hal dalaman parti-parti komponen PH. Kita serah kepada ahli-ahli PKR untuk tentukan yang terbaik bagi mereka,” tambahnya.

No comments: