MUDA HANYA SEPERTI TERATAI, LEBIH BAIK PH PUTUSKAN SAJA HUBUNGAN DENGANNYA

 

Apa yang sepatutnya harus dilakukan kepada Muda berikutan kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberi amaran kepada PKR bahawa akan berlaku pertembungan antara kedua-dua parti jika rundingan pembahagian kerusi menemui kegagalan?

Meskipun banyak pihak dalam PKR telah bersuara menyanggah keceluparan Syed Saddiq itu, tetapi pendirian PH dan parti rakan yang lain seolah-olah langsung tidak kedengaran.

Bukankah PKR adalah anggota PH, jadi kenapa bila ia dikecam, rakan-rakan lain jadi diam?

Walaupun enam kerusi yang diberi laluan kepada Muda sebelum ini adalah daripada kouta Amanah dan DAP, tetapi bukankah ia masih dalam lingkungan persetujuan yang dibenarkan oleh PH sendiri?

Dengan itu, sebenarnya, selain PH sendiri harus bersuara, DAP dan Amanah juga tidak harus sekadar berdiam diri saja melihat keceluparan Muda terhadap PKR itu?

Apakah Muda yang bukan anggota PH mahu lebih dijaga hatinya oleh Amanah dan DAP berbanding PKR yang merupakan komponen PH sendiri?

Sebagai bukan anggota PH dan hanya mahu menumpang pembahagian kerusi dengan PH, kelakuan Muda dalam tuntutan kerusinya terhadap PKR adalah sesuatu yang boleh dianggap kurang ajar dan keterlaluan.

Ia bukan saja kerana Muda merupakan parti anak-anak muda yang semestinya mereka harus beradab dan hormat kepada parti yang lebih tua, lebih daripada itu, Muda juga masih terlalu mudanya usianya.

Orang muda apa kalau belum apa-apa lagi sudah berani mencabar dan meminta kerusi yang bukan-bukan, bahkan mengugut jika kehendak mereka tidak dipenuhi?

Lagi pun, begitukah gaya Muda berpolitik – minta kerusi yang bukan-bukan dan jika tidak diberi lalu disusuli cabaran dan ugutan?

Sedarlah Syed Saddiq, zaman manja kamu dan semua kemahuan kamu perlu dipenuhi sebagaimana ketika memimpin Armada Bersatu dulu sudah lama berakhir?

Kalau mahu berpakat dan bekerjasama, belajarlah untuk merendah diri dan beradab selalu dalam segala tingkah laku.

Jika tidak, kamu tidak bernilai apa-apa dalam masyarakat kerana ramai lagi yang lebih baik ada di mana-mana di negara ini.

Tolong jangan perasan lebih-lebih!!

Kepada PH, mereka juga mesti ada ketegasan sebagai sebuah gabungan yang memang menawarkan diri sebagai kerajaan masa depan kepada rakyat.

Muda bukanlah segala-galanya untuk menarik undi golongan muda kerana setiap parti sebenarnya telah sedia ada sayap pemuda masing-masing sejak sekian lama.

Adalah lebih baik diperkemaskan sayap pemuda masing-masing dengan lebih agresif daripada bergantung kepada Muda yang hanya gah pada nama dan dilihat cantik macam teratai yang akarnya tak menjejak bumi, tetapi belum tentu mampu memberi sumbangan bermakna dalam bentuk undi dan juga sokongan.

Jika semua itu mampu diperkemaskan, bukan saja Muda tidak lagi diperkukan, malah tidak takut juga untuk memutuskan hubungan.

Kecuali jika PH ingin terus digambarkan sebagai tidak bermaya, malah seperti sudah putus idea, maka pilihlah untuk terus menumpang nama glamor Muda, sambil sedia selama-lamanya menanggung lara tertekan jiwa dan raga. – ShahbudinHusin 19/02/2022.



No comments: