Pembangkang sambut baik Suruhanjaya Sekuriti siasat Azam Baki


 

Pembangkang menyambut baik tindakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung pembelian saham menggunakan akaunnya, oleh adik beliau.

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada SC atas tindakan pantas mereka memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mengemukakan bukti dan membantu siasatan lanjut.

"Kami berasa teruja apabila mengetahui tidak semua institusi berkaitan kerajaan terjejas dan akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Kesediaan SC menjalankan siasatan penuh menunjukkan suruhanjaya itu tidak membeli alasan lemah Azam yang mendakwa dia tidak tahu namanya digunakan oleh adiknya untuk membeli saham syarikat," kata mereka dalam kenyataan media Pakatan Harapan bersama Ahli Parlimen Pembangkang lain.

Mengambil semangat keberanian tersebut, Pembangkang menggesa SPRM juga bertindak berani menyiasat lebih lanjut dakwaan pegangan saham Azam Baki serta tidak tunduk kepada penjelasan separuh masak yang diberikan beliau.

"Penjelasan Azam Baki minggu ini adalah lemah dan dengan jelas telah melanggar seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

"Jika sabit kesalahan, Azam berdepan denda sehingga RM3 juta dan penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Azam harus segera mengambil cuti daripada jawatan berprofil tingginya bagi memudahkan siasatan lanjut dan bersikap telus mengenai perkara itu," kata mereka.

Namun, menurut Pembangkang, nasib malang pula kepada whistleblower apabila Azam bertindak 'mengejar pemberi maklumat' dengan tindakan mahkamah dan hal itu jelas satu gangguan terhadap mereka yang menyuarakan dakwaan salah lakunya.

"Oleh itu, kami menyeru pihak berkaitan termasuk SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku ini dan bersikap telus kepada orang ramai berhubung isu berkenaan.

"Jika ketua pencegah rasuah itu sendiri terlibat dengan dakwaan rasuah peringkat tertinggi, di manakah integriti dan standard institusi Malaysia?

"Kami menuntut tindakan segera mengenai perkara ini daripada semua pihak yang berkaitan termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang berdiam diri mengenai perkara ini," kata mereka lagi.

Tambah mereka, sebagai negara yang menyanjung kedaulatan undang-undang, tindakan wajar dibuat untuk memastikan semua proses undang-undang dihormati oleh semua pihak, tidak mengira peringkat dan juga memulihkan keyakinan orang ramai serta

pelabur asing terhadap ketelusan dan keadilan sistem perundangan negara.

Ahli ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan tersebut ialah: Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir - Jerlun, Maria Chin Abdullah - Petaling Jaya, Dr. Maszlee Malik - Simpang Renggam, Teresa Kok - Seputeh, Kasthuri Patto - Batu Kawan, Hassan Abdul Karim - Pasir Gudang, Syed Ibrahim Syed Noh - Ledang, Sim Tze Tzin - Bayan Baru, Fahmi Fadzil - Lembah Pantai, Akmal Nasir- Johor Bahru, Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub – Pulai, Amin Ahmad – Kangar, Muhamad Bakhtiar Wan Chik – Balik Pulau, Cha Kee Chin - Rasah, June Leow – Hulu Selangor, Datuk Ngeh Koo Ham – Beruas, Thomas Su Keong Siong – Kampar, Mahfuz Omar – Pokok Sena dan Mujahid Yusof Rawa – Parit Buntar