Enam ahli LPPR nafi sependapat, sekarang giliran Abu Zahar beri penjelasan

 


Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar perlu memberi penjelasan secara terbuka susulan kenyataan terbaru enam Ahli LPPR yang tidak sependapat dengan kenyataan beliau tentang pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abu Zahar dalam sidang medianya sebelum ini memberitahu, ahli lembaga LPPR berpuas hati dengan penjelasan Tan Sri Azam Baki bahawa akaun miliknya digunakan adiknya Nasir Baki untuk membuat pembelian saham.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bertanya adakah Abu Zahar sebenarnya telah membuat keputusan ‘membersihkan’ nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itui secara bersendirian.

“Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali untuk memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini – atau meletakkan jawatan serta merta.

“Amat jelas beliau tiada lagi hak moral untuk menjadi pengerusi LPPR,” kata Fahmi mengulas pengakuan terbaru enam ahli LPPR hari ini.

Enam ahli lembaga SPRM hari ini menegaskan bahawa kenyataan Abu Zahar adalah pendapat peribadinya sendiri dan tidak mewakili pendirian mereka.

“Kami dengan terang ingin menyatakan bahawa ahli-ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepasnya tidak menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dizahirkan Abu Zahar,” kata mereka.

Penjelasan tersebut mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu Fahmi berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan satu tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar, dan adalah satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau.

“Jelas, seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baharu,” tambahnya.

No comments: