Di bawah ini disenaraikan 18 ‘kayu’ yang diapi-apikan oleh PAS untuk menyerang pentadbiran kerajaan PH dan sebahagiannya semasa era BN memerintah dahulu.
Angka 18 adalah bersempena sejumlah 18 Ahli Parlimen parti itu dan setelah lebih 18 bulan PAS menjadi sebahagian anggota pentadbiran kerajaan persekutuan. Namun tiada satu pun isu yang mereka api-apikan itu berjaya ditangani malah menjadi ‘pencacai’ pula kepada kerajaan yang gagal realisasikan perjuangan mereka!
*1. Isu judi.*
Konon semasa era PH dahulu mereka desak kerajaan supaya menghapuskan segala macam bentuk judi. Samada berlesen mahupun tidak. Konon mahu kaitkan PH dengan taukeh-taukeh judi.
Sebaliknya apa yang berlaku? Ketika era PH lah cabutan judi dikurangkan dari 22 kali kepada 8 kali sahaja setahun.
Di zaman PAS menjadi sebahagian kerajaan? Dinaikkan kembali jumlah cabutan judi kepada 22 kali setahun. Siapa yang ‘bela’ atau ‘dibela’ taukeh judi sebenarnya ni?
*2. Isu ‘Octoberfest’.*
Isu ini sejak bulan pertama PH mentadbir Putrajaya lagi mereka dah mainkan konon kerajaan menyokong dan menggalakkan pesta arak seperti itu. Tapi setelah hampir 2 tahun PH tidak lagi menjadi kerajaan, kenapa ‘Octoberfest’ masih disambut di kedai-kedai arak?
Eh, kedai arak masih dibuka rupanya? Bahkan larangan jualan arak oleh DBKL juga boleh ditangguhkan!
*3. Isu pemandu mabuk.*
Mereka punya apikan sentimen berkaitan isu ini seolah-olah kes pemandu mabuk itu hanya berlaku semasa era PH. Walhal kes-kes seumpamanya dah berlaku sejak zaman berzaman malah berdasarkan statistik, kadar kemalangan akibat mabuk jauh lebih tinggi berbanding ketika PH memerintah.
Lebih ironi, setelah zaman PAS bersama kerajaan hari ini, kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi pula ya? Bahkan terbaharu, seorang pemandu mabuk yang pernah didakwa atas kesalahan membunuh kerana memandu berlawanan arus sehingga mengakibatkan kematian, akhirnya hanya didenda dan diberi bon kelakuan baik?
Bayangkan jika keputusan mahkamah seperti ini dibuat semasa era PH?
*4. Isu Dong Zong.*
Rasanya tak perlu ulas panjang bagaimana mereka apikan isu ini sehingga mendesak kerajaan agar mengharamkan Dong Zong.
Akhirnya kini? Dong Zong lebih berautoriti mengumumkan peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina berbanding pihak kerajaan sendiri?
*5. Isu Adib.*
Sekali lagi tak perlu ulas panjang. Cukuplah dinyatakan hipokrasi mereka yang berapi-api mahu ‘pembunuh’ Adib dibunuh.
Tapi setelah PAS menjadi sebahagian kerajaan, tidak semena-mena pula semangat berapi-api penganut PAS dahulu yang terbunuh!
*6. Isu Tabung Haji.*
Semasa PH mentadbir dan melaksanakan pembaharuan dan baikpulih urustadbir Tabung Haji, merekalah antara yang pertama memfitnah konon PH menjual aset umat Islam kepada bukan Islam dan bermacam-macamlah sentimen menghasut orang Islam supaya membenci kerajaan PH. Namun apakah semua dakwaan mereka benar?
Malah Laporan Audit terbaharu sendiri mengesahkan bahawa pakej pemulihan TH yang dilakukan oleh pentadbiran semasa era PH adalah tindakan tepat!
*7. Isu BMF.*
Apa dah jadi dengan kempen yang disokong oleh PAS ini? Apakah hanya kerajaan PH dahulu yang didesak untuk menyokong kempen BMF, dan kerajaan majoriti Melayu hari ini tak perlu?
*8. Isu jawi.*
Ironi sekali dahulu PAS menuduh DAP menentang pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah sedangkan DAP sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan yang memperkenalkan dasar baharu tersebut. Sebaliknya DAP yang dikecam hebat oleh Dong Zong dan MCA dalam isu ini!
Soalnya, apa dah berlaku dengan cadangan pembelajaran tulisan jawi yang diperkenalkan semasa era PH itu hari ini?
*9. Isu UEC.*
Ini satu lagi isu yang menyerlahkan hipokrasi PAS dan sekutunya UMNO. Konon semasa era PH dahulu, mereka menolak sepenuhnya pengiktirafan UEC, tapi mengapa sehingga kini kerajaan melalui Kementerian Pendidikan masih menerima lulusan UEC untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan?
Kenapa semasa zaman PH dahulu ditentang dalam isu sama? Malahan BN (UMNO) juga pernah jadikan pengiktirafan UEC sebagai manifesto mereka bukan?
*10. Sekolah vernakular.*
Isu ini juga antara isu yang hangat dimainkan ketika era PH oleh PAS dan sekutu-sekutu mereka. Seolah sekolah vernakular ini hanya baharu diwujudkan ketika PH memerintah. Tiba-tiba hari ini tiada lagi cakap-cakap untuk menghapuskan sekolah vernakular? Kenapa?
*11. Isu LGBT.*
Isu ini menjadi sasaran serangan PAS terhadap Dr Mujahid khususnya. Hanya kerana Menteri Agama ketika itu dilihat ‘lunak’ bertemu dengan golongan berkenaan.
Walhal berpuluh kali ditegaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf LGBT sebaliknya kita perlukan pendekatan lebih berhikmah menangani isu LGBT tersebut. Nah, selepas PH ditumbangkan, bukankah Menteri Agama seterusnya juga pernah bertemu dan meraikan golongan LGBT itu, sama sahaja seperti apa yang dilakukan Dr Mujahid?
*12. Isu Sajat.*
Sekali lagi isu yang menjadi sasaran serangan PAS kepada Dr Mujahid. Sajat bertelekung di Mekah pun dipersalahkannya Menteri Agama. Malah kerana isu Sajat jugalah, lidah rasmi PAS Harakah hari ini disahkan telah memfitnah Dr Mujahid!
Ternyata Harakah kaki fitnah bukan? Nah, hari ini Sajat bukan sahaja terang-terangan mencabar institusi Agama negara ini, bahkan telah mengisytihar keluar Islam secara terbuka!
Mana perginya maruah kalian?
*13. Isu kabinet kerajaan bersaiz mega.*
Isu ini PAS pernah suarakan bantahan keras terhadap kerajaan BN suatu ketika dahulu khususnya semasa pentadbiran Najib.
Apa yang mereka kata? Kabinet membazir dan tidak sensitif dengan masalah sebenar dihadapi rakyat.
Hari ini, mereka sendiri yang amalkan budaya pembaziran sama bukan? Amat jauh berbeza dengan pendekatan yang telah dilakukan ketika era pentadbiran PH. Saiz kabinet dikecilkan, dan jawatan-jawatan bertaraf menteri dimansuhkan.
Sebaliknya PH pula yang difitnah bukan-bukan!
*14. Isu pembaziran dan belanja boros kerajaan.*
Isu ini juga banyak diperjuangkan oleh PAS suatu ketika. Tiada apa yang salahnya perjuangan tersebut malah wajib disokong!
Tapi apa yang telah menjadi kesalahan hari ini? Salahnya kerana PAS hanya ‘cakap tak serupa bikin’. Malah PAS hanya menjadi ‘pencacai’ dalam kerajaan yang membazir wang rakyat membina dewan-dewan bernilai lebih RM30 juta dalam kawasan parlimen PM mereka, dan terbaharu membazir RM38.5 juta mengubahsuai rumah PM di saat negara kehilangan sumber pendapatan!
*15. Isu harga barang.*
Isu ini juga adalah isu yang amat wajar disokong walaupun PAS pernah memperjuangkannya suatu ketika dahulu. Masih ingat kata-kata Presiden parti itu yang pernah mengaitkan bahawa kenaikan harga barang adalah akibat kerajaan yang tidak melaksanakan Hukum Islam?
Hari ini, harga ayam direkod mencatat harga tertinggi dalam sejarah. Begitu juga harga minyak masak yang naik mencanak-canak baru-baru ini. Apakah kerajaan yang disokong oleh PAS hari ini juga tidak melaksanakan Hukum Islam?
*16. Isu UMNO rasuah, zalim, jual tanah Melayu, dan macam-macam lagilah.*
Ya, isu itu semua adalah isu sama yang diperjuangkan oleh parti-parti lawan lain. Cuma yang membezakan PAS dengan parti yang lain, PAS memilih untuk bersendirian.
Hatta ketika UMNO hampir tumbang dalam PRU-14 pun PAS masih ‘berlagak’ konon kuat bersendirian dan acah-acah berlawan dengan UMNO walaupun cakap-cakap bahawa PAS akan ‘bergabung’ dengan UMNO semakin kuat kedengaran.
Masih ingat ‘sumpah keramat’ Setiausaha Agung PAS sebelum PRU-14? Konon selagi PAS berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah, selagi itu PAS tidak akan bergabung dengan UMNO.
Sejurus selepas PRU, apa yang berlaku? Tak sampai beberapa bulan sahaja PAS secara rasmi bergabung dengan UMNO. Apakah PAS telah tidak lagi berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah?
Lebih ironi, konon muafakat UMNO dengan PAS adalah demi perpaduan Melayu, tapi mengapa PAS yang menjadi punca undi Melayu berpecah semasa PRU lepas?
*17. Isu UMNO khianati mandat rakyat dan merampas kerajaan Perak daripada Pakatan.*
Ya, PAS amat terkesan dengan tindakan khianat tersebut sementelah PAS adalah Menteri Besar di Perak dengan kerjasama Pakatan Rakyat.
Ironis sekali, PAS sendiri hari ini bersekongkol dengan pengkhianatan untuk merampas kerajaan daripada PH? Moga ALlah laknat para pengkhianat dan penyokong pengkhianatan.
*18. Isu RUU355.*
Akhir sekali isu ini tak perlu diulas panjang-panjang. Dah terlalu banyak ulasan dibuat. Hipokrasi dalam sebuah perjuangan terulung pernah berlaku dalam negara ini.
Setelah sekian ramai orang Islam dikafir dan dimunafikkan, baharu hari ini PAS tahu bahawa kaedah untuk meminda sesebuah Rang Undang-undang hanya perlu dibawa oleh kerajaan ke parlimen setelah dirunding dengan pihak berkepentingan, dan bukannya mengajak orang ramai berhimpun di Padang Merbok?
Cukuplah 18 isu ini sahaja saya catatkan di sini untuk mendedahkan tembelang dan hipokrasi sebuah parti yang hanya memperdagangkan nama agama demi kepentingan politik sempit mereka. Walaupun sebenarnya banyak lagi isu yang mereka pernah adu dombakan.
Bayangkan jika 18 isu ini dibawa oleh setiap seorang Ahli Parlimen mereka untuk mendesak kerajaan yang mereka sokong hari ini untuk dilaksanakan, rasanya tidak ada siapa pun yang akan persoal atau pertikaikan.
Tapi jika PAS masih nak kata mereka bukan berkuasa penuh, maka eloklah pergi menuntut ilmu dengan MCA yang hanya diwakili DUA (2) Ahli Parlimen itu. Mungkin lebih banyak mutiara hikmah yang akan PAS belajar, bukan?