RARA MENJAWAB FITNAH DARI SEORANG DOKTOR/DOKTOR PHD TERHADAP BELIAU.


 Susahnya menjadi ADUN Pembangkang di dalam negeri Pahang ini. Saya mendapat satu kiriman posting viral mengenai seorang Dr yang menulis perkara yang tidak betul dan fitnah terhadap diri saya ( https://www.facebook.com/100001070408695/posts/4857375817641384/?d=n ). Saya di sini ingin menjawab setiap tuduhan dan kenyataan fitnah yang beliau tulis dengan kebenaran. Saya sukar untuk puaskan hati semua orang, lebih-lebih lagi disaat sebegini. Tetapi jangan butakan hati untuk menidakkan kerja yang telah saya lakukan untuk DUN Ketari. 


1. Berkaitan dengan Chegar Medang. 


Chegar Medang adalah salah satu kawasan di dalam DUN Ketari. Pada 20 Disember 2021, saya telah pergi menjenguk Taman Chegar Medang dan berkesempatan untuk membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk sebelum saya ke kawasan yang lain ( https://www.facebook.com/100044504136640/posts/452359466257521/?d=n ). Saya tidak mampu untuk pergi ke semua rumah penduduk. Namun bukan pada 20 Disember sahaja saya menjenguk Chegar Medang. Saya hadir beberapa kali menjenguk Chegar Medang, bahkan saya juga terserempak dengan YB Senator Wan Ahmad Fayhsal sewaktu beliau dan jentera Armada Bersatu beliau turun membersihkan Chegar Medang. 


Mengenai dengan janji kerja kutipan sampah yang dinyatakan dalam posting tersebut. Saya TELAH MENYEWA 6 buah lori dan 2 backhoe sebagai back up kepada kerja-kerja pembersihan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab SWCorp / Alam Flora. Saya faham mereka tidak akan menang tangan. Oleh itu saya dengan inisiatif saya sendiri dan dengan dana yang saya perolehi daripada crowdfund #BantuKetari telah menyewa lori dan backhoe untuk pembersihan bukan sahaja untuk Chegar Medang (https://www.facebook.com/100044504136640/posts/454266236066844/?d=n) , bahkan untuk kawasan-kawasan lain juga. Namun ia masih tidak mampu menampung kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas kerana sampah dan sisa banjir terlalu banyak. 


Perbelanjaan dari dana yang saya dapat telah saya huraikan di dalam posting di Facebook saya ( https://www.facebook.com/100044504136640/posts/457581002402034/?d=n). Saya bersyukur masih ada rakyat Malaysia yang sudi menyumbang untuk dana #BantuKetari bagi membantu saya untuk menguruskan perihal pengurusan selepas bencana dalam kawasan DUN saya. Saya ingin tegaskan di sini, sebagai ADUN Pembangkang dari parti DAP yang bernaung dibawah payung konsesi Pakatan Harapan yang pada tahun 2018 telah bertanding dibawah logo Keadilan - saya tidak menerima apa-apa bantuan bahkan peruntukan pengurusan pasca bencana dari kerajaan Negeri bahkan dari kerajaan Persekutuan. Semua perbelanjaan saya adalah daripada duit dana #BantuKetari yang saya kumpulkan menggunakan akaun Pusat Khidmat DUN Ketari. Setiap barangan yang saya edarkan pula adalah hasil dari sumbangan orang ramai termasuklah Ahli Parlimen dan ADUN dari Pakatan Harapan yang lain, NGO, syarikat korporat melalui program CSR mereka dan sumbangan peribadi secara individu. Bahkan di kawasan Chegar Medang saya telah mengedarkan tilam, bantal dan selimut untuk kegunaan penduduk. Saya tidaklah mampun untuk memenuhkan rumah tuan dan puan dengan set perabot yang lengkap, namun saya cuba untuk berikan kelengkapan asas walaupun ia tidak mencukupi sebenarnya. 


2. Tidak cukup manpower

Saya akui saya tidak mempunyai tenaga yang ramai untuk menghadapi bencana banjir ini. Di pejabat saya, saya hanya mempunyai 4 orang pegawai dan seorang intern dan kami sejak dari bencana banjir berlaku telah bersama-sama beberapa sukarelawan yang terdiri daripada penduduk di DUN Ketari dan sahabat-sahabat telah mengembleng tenaga untuk membantu penduduk DUN Ketari yang terkesan dengan bencana banjir. Seorang pegawai saya tidak menyambut perayaan Christmas pada tahun ini dan mereka semua telah bekerja hampir 3 minggu tanpa cuti. 


Untuk kerja pembersihan, saya sekali lagi bersyukur kerana saya telah mendapat bantuan dari sukarelawan yang telah sudi membantu. Hampir 1000 sukarelawan telah hadir membantu kerja-kerja pembersihan di dalam DUN Ketari. Namun kerja pembersihan masih tidak selesai. Saya tidak mampu untuk menghantar sukarelawan di setiap rumah yang terkesan di DUN Ketari. Priority saya adalah rumah warga emas yang uzur, mereka yang kurang upaya, keluarga yang terkesan teruk dan sekolah. 


Kerja-kerja pembersihan juga tak dapat untuk dijalankan sepenuhnya kerana bekalan air masih lagi rendah di kawasan DUN Ketari. Bahkan ada kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik. Maka apa yang boleh dilakukan ialah membersihkan dengan cara biasa, tanpa menggunakan water jet atau peralatan canggih lain yang memerlukan tekanan bekalan air yang tinggi dan bekalan elektrik. 


3. Lompat parti Keadilan

Saya dari dahulu sehingga sekarang adalah ahli DAP dan wakil rakyat DAP yang bertanding dan menang atas tiket Pakatan Harapan yang bertanding menggunakan logo Keadilan pada PRU 14 yang lalu. Saya rasa penulis post kena cakna dan membaca lebih sedikit mengenai perihal PRU 14. Saya tidak pernah lompat parti. Saya adalah ADUN DAP dari Pakatan Harapan. 


4. Isu pembalakan negeri Pahang

Bagi saya, penulisan mengenai isu pembalakan ini adalah fitnah yang paling serius yang dilemparkan oleh penulis post kepada saya. Dan saya juga merasakan walaupun dengan jawatan Dr di hadapan nama beliau, beliau masih lagi tidak pandai membezakan peranan pembuat dasar dan polisi, peranan kerajaan tempatan dan peranan kerajaan dan pembangkang. 


Saya adalah ADUN Pembangkang yang tidak mempunyai akses apa lagi autoriti untuk membuat sebarang keputusan dan dasar bagi negeri Pahang. Semua keputusan dibuat oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional. Bahkan kesemua exco-exco kerajaan Negeri adalah dari cadangan lantikan Menteri Besar yang mendapat perkenan Sultan Pahang. TIADA SEORANG PUN AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG DARI PEMBANGKANG DILANTIK MENJADI EXCO. 


Keputusan untuk meluluskan apa sahaja projek adalah terletak kepada pihak kerajaan negeri. Dan jika untuk meluluskan apa sahaja RUU kerajaan negeri, jumlah 9 orang ADUN Pembangkang sudah tentu tidak mampu mengalahkan jumlah ADUN Kerajaan negeri untuk menggagalkan sesebuah RUU itu. 


Jadi adalah satu fitnah dan tuduhan serius dari penulis mengatakan bahawa saya berkait dengan aktiviti merosakkan alam sekitar. Bahkan jika penulis ini cakna, beliau akan merujuk kepada semua ucapan sidang saya yang ada terdapat dalam Facebook page saya di mana saya dengan tegas membawa isu alam sekitar ke perhatian sidang DUN. 


Saya tiada kuasa meluluskan apa sahaja undang-undang, projek atau lesen untuk kerja-kerja pembalakan dan perlombongan di negeri Pahang apa lagi di kawasan DUN Ketari. Saya ini tidak menerima apa-apa peruntukan langsung dari kerajaan Negeri sejak menjadi ADUN - ini pula autoriti untuk meluluskan apa sahaja projek. Saya ini bagai melukut di tepian gantang. Walaupun ADUN namun setiap mesyuarat pengurusan bencana peringkat daerah tidak pernah dijemput. Dan penulis melalui penulisan beliau menggambarkan saya mempunyai autoriti untuk meluluskan aktiviti seperti yang beliau katakan itu - saya rasa penulis perlu lebih lagi membaca. 


Saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Tapi saya cuba sebaik boleh untuk menjalankan tanggungjawab dan amanat yang terletak di atas bahu saya. Sukar untuk saya menjalankan kerja saya kerana saya tiada sokongan dari kerajaan Negeri. Akan tetapi saya perlu teruskan juga demi penduduk Ketari. Saya tahu ramai yang tidak senang, terutamanya dari parti lawan. Tapi jangan butakan mata dan hati dengan menidakkan kerja-kerja yang telah saya lakukan. 


Sepatutnya, pada ketika ini kita semua fokus pada kerja dan tanggungjawab masing-masing. Saya menghormati dan berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus untuk membantu mangsa banjir tidak kira dari mana parti, NGO, Badan Kerajaan, perseorangan dan sebagainya. 


Semoga Ketari bangkit. 


#BantuKetari

#KetariKu