SELAIN SAH MENIPU DAN BERBOHONG, ABU ZAHAR JUGA CEMARKAN NAMA AGONG

 

Termasuk Abu Zahar Ujang selaku pengerusi, Lembaga Penasihat Pencecahan Rasuah (LPPR) SPRM mempunyai tujuh orang anggota.

Berikutan sidang media Abu Zahar atas nama LPPR pada 5 Januari lalu yang membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki daripada sebarang salah laku berkaitan kontroversi pemilikan saham korporat yang dikaitkan dengannya, enam anggotanya hari ini tampil dengan kenyataan media bersama yang menjarakkan diri mereka daripada pendirian tersebut.

Mereka menyangkal pernah bersetuju dengan apa yang disebut oleh Abu Zahar dalam sidang medianya itu, bahkan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu semata-mata.

“Kami dengan terang ingin menyatakan bahawa ahli-ahli lembaga pada mesyuarat LPPR pada 24 November lalu atau pada bila-bila masa selepasnya, tidak pernah menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dinyatakan oleh Abu Zahar.

“Kami ingin menyatakan bahawa kenyataan berkenaan adalah sepenuhnya pandangan peribadi Abu Zahar,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka sebaliknya mencadangkan supaya kes Azam dirujuk kepada sama ada jawatankuasa bebas, jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai rasuah atau panel aduan SPRM.

Bagaimanapun, mereka berkata, pandangan tersebut tidak dinyatakan oleh Abu Zahar semasa sidang medianya itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh semua ahli LPPR kecuali Abu Zahar, iaitu Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Dengan enam daripada tujuh anggota LPPR, kecuali Abu Zahar, sependirian menyatakan mereka tidak pernah terlibat dalam membersihkan nama Azam, bermakna sahlah Abu Zahar telah menipu, berbohong dan bertindak mengelirukan dalam sidang media pada 5 Januari lalu.

Ia juga bermakna, Abu Zahar sudah boleh dianggap hilang kepercayaan daripada semua anggota LPPR sendiri

Kenapa Abu Zahar pandai-pandai secara sendirian berbuat demikian?

Apakah kerana beliau sedar kes Azam itu memang tidak boleh dipertahankan?

Jika begitu, apa tujuannya pandai-pandai membersihkan nama Azam dengan membelakangkan semua anggota LPPR?

Apa kepentingannya dalam kes Azam ini?

Dengan perlakuan tidak bermoral ini, Abu Zahar bukan saja telah merosakkan nama LPPR, malah mencemarkan nama Yang Dipertuan Agong yang melantiknya memegang jawatan tersebut.

Menipu dan berbohong atas jawatan yang dilantik oleh Agong adalah perbuatan yang tidak harus dimaafkan oleh seluruh rakyat negara ini.

Maka, selain harus meletakkan jawatan dengan serta-merta, siasatan salah laku juga seharusnya diambil terhadap Abu Zahar, bersekali dengan Azam yang bersungguh-sungguh cuba dipertahankannya itu.

SPRM harus dibersihkan dengan sebersih-bersihnya, terutama dengan perangai macam Abu Zahar ini jika rasuah ingin dibanteras dengan sebaik-baiknya di negara ini. – ShahbudinHusin 08/01/2021.