Perjelas kenapa ‘bersih’ nama Azam atau letak jawatan, Abu Zahar diberitahu


Pengerusi Bersih Thomas Fann dan Presiden Aliran Anil Netto menyelar Abu Zahar Ujang yang dilihat menutup penglibatan Azam Baki. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: BERSIH menggesa Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Zahar Ujang meletak jawatan jika gagal menjelaskan keputusannya membersihkan nama Azam Baki berhubung isu pemilikan saham.

Gesaan itu susulan pendedahan enam ahli LPPR bahawa kenyataan Abu Zahar mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM terbabit pada sidang media Rabu lalu adalah pandangan peribadinya.

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, mendesak Abu Zahar meletak jawatan apabila jelas memberi gambaran salah berhubung cadangan ahli lembaga berkenaan.

“Malangnya, Abu Zahar atas sebab yang hanya diketahui dirinya, memilih menutup penglibatan Azam. Jadi beliau mesti memberi penjelasan atau jika gagal, perlu meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Thomas Fann.

Sementara itu, Presiden Aliran Anil Netto memberitahu FMT, kenyataan dikeluarkan ahli LPPR itu ibarat menunjukkan “kapal SPRM semakin karam”.

“Jika benar apa dikatakan mereka (ahli LPPR), maka pengerusinya perlu membuat penjelasan,” katanya dengan menambah ahli lembaga juga perlu menjelaskan kenapa mereka mengambil masa beberapa hari sebelum bersuara.

“Jangan siasat Azam saja, malah pegawai SPRM yang aktif dan telah bersara yang melakukan kesalahan seperti itu,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut mendesak Abu Zahar memberi penjelasan atau meletak jawatan, malah beliau disifatkan jelas tiada lagi hak moral untuk menjadi Pengerusi LPPR.

Anil Netto.

“Jelas, seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baharu,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, tindakan enam ahli LPPR itu merupakan tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar, dan boleh disifatkan sebagai satu bentuk “undi tidak percaya” terhadap beliau.

Enam ahli yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Akhbar Satar, Ismail Omar, Azman Ujang, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Menurut mereka, sebelum sidang media pada Rabu lalu mereka telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, pandangan dan cadangan mereka tidak dibangkitkan Abu Zahar pada sidang media tersebut, kata mereka.

Pada masa sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menolak dakwaan bahawa kerajaan berdiam diri dalam isu itu, sebaliknya menegaskan semua pihak perlu memberi ruang untuk pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya.

Katanya, beliau sentiasa memantau isu berkaitan SPRM, selain agensi itu adalah suruhanjaya bebas dengan tatacara sendiri untuk mengendalikan perkara seperti itu.

No comments: