Rombakan kabinet: Mat Maslan Menteri Kewangan yang baru?
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan yang menyatakan beliau akan dilantik sebagai Menteri Kewangan hanya sebagai khabar angin.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, kuasa untuk melantik atau membuat rombakan kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Apa yang ditularkan itu, saya anggap sebagai khabar angin sahaja. Hal berkaitan kabinet ini terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial menyatakan Ahmad akan dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Ahmad sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kewangan II pada tahun 2013 hingga 2016 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri serta pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.