Adakah sistem perparitan Taman Sri Muda diurus dengan betul, soal bekas timbalan menteri


Sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam banjir di Selangor, kebanyakannya di Taman Sri Muda, Shah Alam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan menteri mempersoalkan penguatkuasaan berhubung sistem perparitan di Taman Sri Muda, kawasan paling teruk dilanda banjir akibat fenomena lekukan tropika.

Sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam banjir di Selangor, kebanyakannya berlaku di kawasan kejiranan yang terletak di Shah Alam itu.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah, yang terlatih sebagai arkitek, berkata banjir tidak akan seteruk itu jika ia diuruskan dengan baik.

“Amaran telah dikeluarkan berkali-kali, tetapi tiada siapa yang mengambilnya serius,” katanya.

Persatuan penduduk Taman Sri Muda memberitahu FMT baru-baru ini, sistem saliran mereka dibebani air dari kawasan lain, tiga kali ganda daripada jumlah yang dapat dikendalikan oleh longkang-longkang mereka.

“Apabila ada perumahan baharu akan dinaikkan, mesti ada pengiraan yang dikemas kini untuk melihat sama ada kawasan perumahan lama mampu menampung isipadu berlebihan,” kata Raja Kamarul.

Raja Kamarul Bahrin Shah.

“Jika tidak, pembangunan baharu itu mesti mencari sistem perparitan bebas untuk menampung jumlah itu,” katanya.

“Namun, sejauh mana ini dipatuhi? Sekalipun ia dipatuhi, adakah ia (sistem saliran) diselenggara dengan baik?”

“Pemaju sentiasa mencari jalan untuk mengelak daripada mematuhi peraturan, (namun) pihak berkuasa perlu tegas.”

Tanggungjawab terletak pada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan projek yang mereka luluskan, katanya.

Pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan berkaitan pembangunan dalam kawasan mereka, dan projek tidak seharusnya diluluskan melainkan pemaju mematuhi peraturan ini.

Antara pemilik rumah yang menzahirkan kebimbangan adalah M Ali, pengerusi Gabungan “Save KL” yang menyokong perancangan bandar bertanggungjawab di Kuala Lumpur.

Ali berkata, beliau gagal mendapatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menunjukkan rancangan saliran air larian dalam pembangunan sedia ada.

Beliau bimbang Bangsar dan kawasan sekitarnya akan ditenggelami air kerana tanah kosong di Bangsar, termasuk bukit dan cerun, sedang diintai untuk pembangunan.

“Dengan kelulusan yang diberikan bagi pembangunan besar-besaran, mana longkang untuk mengalirkan air permukaan dari kawasan itu?” soalnya.

Kawasan perumahan tidak seharusnya menumpang sistem perparitan sedia ada, tambahnya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa diketahui hanya menuruti pemaju dalam menyembunyikan impak negatif projek.

Beliau menggesa undang-undang baharu digubal untuk mengenakan hukuman berat kepada pemaju yang tidak menyediakan sistem perparitan yang sempurna.

“Pegawai atau pihak berkuasa yang meluluskan juga mesti bertanggungjawab,” katanya.

No comments: