Tindakan Menteri Luar Kerajaan BN - PN, Datuk Saiffudin Abdullah
melantik Penasihat Khas dalam hal ehwal Asia Timur dan hal kebajikan
antarabangsa mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, tiada gunanya
Saifuddin melantik Penasihat Khas dalam keadaan telah wujud Duta Khas yang
ditugaskan dan berperanan di peringkat antarabangsa.
"Kerajaan sebelum ini telah melantik Duta Khas bertaraf Menteri
sebanyak 3 orang, kenapa masih perlu melantik 2 Penasihat Khas lagi?
"Kerajaan BN-PN telah melantik Duta khas ke China Datuk Seri
Tiong King Sing, Duta Khas Timur Tengah Datuk Seri Hadi Awang, Duta Khas Asia
Selatan SA Vigneswaran dan juga Duta Khas Asia Timur Datuk Seri Richard Riot.
Kos Duta-duta khas ini mencecah juta ringgit setiap tahun.
"Bayangkan pembayaran elaun dan gaji bagi pegawai serta
Setiausaha untuk Duta Khas mencecah RM 145,653 setiap bulan, iaitu sebanyak RM
1.7 juta setiap tahun, ia masih tidak termasuk elaun dan gaji duta-duta khas.
"Menteri sepatutnya bekerjasama dengan duta khas tersebut,
apakah rasional kerajaan memilih untuk melantik penasihat yang baru?"
tanyanya.
Dakwa ADUN Semambu itu lagi, pelantikan Penasihat Khas mungkin
sengaja dibuat melangkaui proses pelantikan pegawai tadbir diplomatik dengan
melantik orang luar yang dijanjikan jawatan politik sebelum ini.
Katanya, pelantikan seperti itu sama sekali tidak memenuhi
tatacara kementerian.
"Kementerian Luar Negeri telah mempunyai sistem latihan yang
sempurna, malah ada pegawai tadbir diplomatik yang profesional untuk memberi
cadangan. Tindakan Saifuddin melantik orang sendiri sebagai ganjaran dilihat
sebagai satu penghinaan terhadap pegawai tadbir diplomatik yang profesional.
"Jika pun perlantikan tersebut tidak akan menggunakan satu
sen dana kerajaan, tetap ia akan dilihat Menteri menggunakan jawatan
kementerian luar negeri sebagai modal politik peribadi dan tidak mencerminkan
tatacara serta protokol yang profesional," katanya lagi.