Kg Baru: PH tawar RM1k sekaki, Umno ambil RM400 sekaki?
Penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak puas hati dengan pengambilan paksa tanah di kawasan itu mengikut Kanun Tanah Negara melalui tawaran harga yang amat rendah.
Sebahagian besar mereka bertanya tanya di manakah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Harun yang tidak prihatin dengan nasib mereka diarah menjual tanah pada harga RM400 sekali, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini menawarkan RM1,000 sekaki.
Bagi Mantan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman, bantahan terhadap pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang meluas sekarang ini membuktikan petanda kegagalan Rina Harun berdepan kerakusan pemimpin Umno dan menunjukkan kelemahan beliau menyantuni rakyat.
“Sebanyak 110 penduduk yang menyuarakan bantahan terhadap pembangunan semula kawasan itu terpaksa menggunakan medium lain termasuk media bagi menyuarakan bantahan berikutan Ahli Parlimen kawasan bersikap lepas tangan.
“Rina bukan sahaja gagal menyantuni masalah penduduk terbabit, malahan Rina sudah sekian lama menghilang dan tidak mengambil tahu perihal masalah kawasan,” katanya.
Syed Badli juga mempersoalkan keupayaan Rina untuk menentang menteri menteri Umno yang mahu mengambilalih tanah Kampung Baru dengan harga murah.
Katanya, Rina harus menjadi juara orang Melayu dalam membela hak mereka, sementalah Bersatu yang dianggotainya didakwa ditubuhkan bagi membela Melayu yang dikhianati Umno.
Sekiranya Rina tidak mempunyai cara menyelesaikan masalah penduduk Kampung baru, tambah Syed Badli, adalah lebih baik beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
“Rina gagal membela nasib mereka, malah gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat yang seharusnya berperanan mencari titik penyelasaian terbaik kepada masalah tersebut.
“Justeru itu saya menggesa Ahli Parlimen Titiwangsa itu untuk tampil memberikan penjelasan atau isytiharkan sahaja perletakan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Pengambilan paksa tanah penduduk Kampung Sungai Baru telah menunjukkan pengkhianatan sebenar pemimpin Umno.
Pada waktu Menteri Wilayah Khalid Samad menawarkan pengambilan tanah pada 2018 lalu, Ketua Pembangkang waktu itu Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan orang ramai seperti hospital.
Begitu juga pemimpin Umno lainnya seperti Annuar Musa yang menempelak tawaran RM855 plus RM150 dari Khalid yang dikatakan rendah berbanding hartanah di sekitar KLCC yang bersempadan
“Kampung Baru adalah kawasan yang sudah dibangunkan la bro… Semua prasarana tersedia. Yang beli bukan swasta tapi kerajaan!!” kata Annuar Musa kepada Khalid
Malah Najib bossku pula menyarankan harga tanah sepatutnya sekitar RM3,000 untuk membangunkan orang Melayu.
Kini, Menteri Wilayah dari Umno Shahidan Kassim tidak pula menawarkan harga RM3,000 sebagaimana penyelesaian dijanjikan Umno tetapi harganya 2 kali lebih murah berbanding PH.
Maka penduduk Kampung Baru wajar sedar pada masa hadapan tanah mereka pasti diambil dengan harga RM400 sekaki oleh parti keramat dan pujaan orang Melayu.