ESOK ADALAH HARI YANG LEBIH MENDEBARKAN BUAT NAJIB

 

Mahkamah Rayuan petang ini membuat keputusan sebulat suara menolak permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuannya.

Sehubungan itu, keputusan rayuan beliau terhadap sabitan kes SRC International akan tetap disampaikan esok, 8 Disember 2021 sebagaimana yang dijadualkan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib atas kesalahan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan penggubahan wang haram berkaitan dana SRC International.

Semasa prosiding melalui Zoom petang tadi, panel tiga hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan tiada keperluan bukti tambahan dimasukkan dalam rayuan tersebut.

Dua hakim lain ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan.

“Tiada keadaan luar biasa atau syarat luar biasa ditunjukkan untuk mahkamah mengambil keterangan tambahan dalam rayuan.

“Permohonan ditolak. Penyampaian keputusan rayuan esok akan diteruskan seperti yang ditetapkan,” kata Abdul Karim lagi.

Sebelum itu pada awal hari ini, panel hakim yang sama mengeluarkan amaran kepada bekas Perdana Menteri untuk menghadiri prosiding secara dalam talian, berikutan ketidakhadirannya secara fizikal pada sebelah pagi.

Sementara pasukan peguam Najib memohon untuk mengemukakan bukti baru dan ia ditetapkan untuk didengar hari ini, lewat malam semalam mereka juga memohon prosiding hari ini ditangguhkan berikutan beberapa peguam mempunyai kontak dengan mereka yang positif Covid19.

Bagaimanapun hakim menolak permohonan penangguhan itu, seterusnya mengarahkan prosiding diadakan secara dalam talian.

Sambil mengarahkan prosiding diadakan melalui applikasi Zoom, hakim turut memberi amaran kepada Najib agar menghadirinya atau berdepan kemungkinan ditangkap kerana kegagalan hadir secara fizikal pada pagi tadi.

Dengan keputusan hakim menolak penangguhan dan cubaan mengemukakan bukti baru ini, esok tentu saja merupakan hari yang lebih atau paling mendebarkan buat Najib dalam seumur hidupnya.

Adakah rayuannya akan diterima dan beliau akan bebas daripada sabitan kesalahan atau rayuannya ditolak dan kekal sebagai orang yang bersalah?

Esok adalah jawapannya, tapi dapatkah Najib melelapkan matanya malam ini? –ShahbudinHusin 07/12/2021.