KEADILAN janji selesai masalah penduduk tiada kewarganegaraan

 


Calon DUN Telang Usan, Philip Jau Ding berkata, KEADILAN akan cuba menyelesaikan masalah penduduk asli di DUN tersebut dan Daerah Baram yang tiada dokumen kewarganegaraan biar pun lahir di Sarawak.


Katanya, rakyat tidak harus terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah memerintah selama 58 tahun tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah dokumen kewarganegaraan.


"Dalam lawatan saya ke kampung masih ada ramai penduduk Orang Asal yang tidak mempunyai sebarang dokumen


"Ini menunjukkan mereka ini tidak menjadi seorang rakyat Malaysia walau Orang Asal dilahirkan di Telang Usan


"Ada yang memiliki sijil lahir tetapi status dalam sijil tersebut tidak ditentukan, belum ditentukan, bukan warganegara dan sebagainya. Ini sangat tidak baik bagi penduduk kerana dinafikan kewarganegaraan mereka.


"Bagi anak anak, mereka tidak dapat ke sekolah, mereka yang dewasa sukar cari pekerjaan, untuk kesihatan mereka dicaj hospital dengan bayaran sangat tinggi. Apa akan jadi kepada mereka ini?


"Saya merayu Kementerian Dalam Negeri melihat hal ini dengan serius," katanya.

Philip juga sedih membayangkan Kerajaan Negeri mempunyai hasil bumi yang banyak tetapi rakyat tiada jalan masuk ke kampung kampung sehingga terpaksa menumpang jalan yang dibuat syarikat perladangan atau syarikat balak.


"Di Baram kita pergi ke hulu menggunakan jalan dibina oleh syarikat. Tidak ada jalan dibina oleh kerajaan sepanjang GPS mentadbir Sarawak. Mana tanggungjawab mereka sebagai kerajaan?


"Selalu dikatakan GPS sangat bertanggungjawab kepada penduduk. Sedangkan mereka gagal membina jalan raya yang baik untuk rakyat.


"Bagi saya kita rehatkanlah GPS ini. Saya rayu pengundi Telang Usan memilih KEADILAN," katanya lagi.