Naikkan nilai kompaun hukum ahli politik langgar SOP, kata MMA



Ahli politik masih secara terbuka mengabaikan SOP sebagaimana berlaku di PRN Melaka baru-baru ini, kata Presiden MMA Koh Kar Chai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Nilai kompaun yang lebih tinggi harus dikenakan ke atas ahli politik yang melanggar sekatan Covid-19 sepanjang berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai.

Beliau berkata, pematuhan tinggi terhadap SOP pilihan raya diperlukan walaupun Sarawak mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi.

“Paling penting, ahli politik yang akan berkempen menunjukkan contoh yang baik dan mematuhi SOP,” katanya.

Koh menggesa agar kompaun bagi kesalahan melanggar SOP dinaikkan bagi ahli politik kerana jumlah yang dikenakan ketika ini tidak cukup besar.

“Sebilangan ahli politik masih secara terbuka mengabaikan SOP seperti yang kita lihat sebelum PRN Melaka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tidak munasabah mengharapkan parti politik berkempen secara maya kali ini kerana banyak kawasan luar bandar yang kekurangan akses Internet, sehubungan itu, SOP asas perlu dipatuhi dengan ketat dan perhimpunan orang ramai harus dielakkan.

Beliau mencadangkan kerajaan menerbitkan salinan SOP PRN Sarawak dengan kerap serta menerangkan mengenai pelaksanaan SOP di televisyen dan radio.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengkaji sama ada langkah-langkah yang diambil semasa PRN Melaka adalah mencukupi.

Bagaimanapun, beliau percaya KKM akan dapat mengendalikan PRN Sarawak, tidak seperti PRN Sabah tahun lepas yang menyebabkan lonjakan baharu kes Covid-19 berpunca daripada ahli politik dan mereka yang terlibat kempen.

Jeyakumar mencadangkan pemimpin masyarakat memperakui SOP KKM bagi memastikan ia dipatuhi penduduk setempat, selain memastikan kerajaan adil dalam pelaksanaannya.

No comments: