Laporan SPRM ibarat ‘bombshell’, perlu tindakan segera, PM digesa


Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi menggesa tindakan diambil susulan salinan didakwa laporan SPRM yang dibocorkan, mengaitkan bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Peguam Negara dan Menteri Undang-undang didesak mengambil tindakan susulan penerbitan laporan dikatakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai deposit berjumlah RM2.6 bilion dalam akaun bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata, dokumen setebal 14 muka surat itu satu “bombshell” (menggemparkan) dan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan boleh menyebabkan hilang kepercayaan atau “trust deficit”.

Semalam, laporan penulis blog berpangkalan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin telah menerbitkan butiran laporan yang dikatakan sebagai “Laporan Kes Ambank” yang mendakwa membuktikan bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz maklum dan mengizinkan supaya RM2.6 bilion itu dibawa masuk ke negara ini.

Deposit RM2.6 bilion – yang menurut bekas Perdana Menteri itu adalah derma daripada keluarga diraja Saudi – menjadi subjek kontroversi dan tindakan undang-undang terhadap Najib.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop juga disebut-sebut dalam laporan yang telah dibocorkan itu.

Beliau didakwa memiliki RM85 juta, berkaitan tawaran Sukuk 1MDB pada 2009, dalam akaun proksinya di Singapura.

Puad berkata, laporan itu juga mendedahkan cadangan SPRM kepada kerajaan mengenai perkara itu.

“Persoalannya apakah syor itu dilaksanakan, menyeluruh atau selektif? Rakyat mahu tahu. Ia juga menimbulkan persoalan apakah keterangan saksi dalam kes SRC dan 1MDB (masih berjalan) konsisten dan kredibel.”

Beliau berkata, isu itu tidak boleh lagi dikompromi, disorok, dimanipulasi dan dijadikan bahan fitnah pemimpin politik.

“Mereka yang terdedah dan sebenarnya terbabit mesti dibawa ke muka pengadilan dan didakwa,” katanya.

Bulan lalu, SPRM berkata setakat ini, ia berjaya mendapatkan semula aset dan dana yang dikaitkan dengan 1MDB berjumlah RM20.5 bilion, termasuk pemulangan aset bernilai USD15.4 juta (RM64.4 juta) daripada sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Tawfiq Ayman, suami Zeti, saksi dalam perbicaraan 1MDB Najib.

Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas baru-baru ini mendakwa Zeti dan Tawfiq telah “memudahkan urusan” Low. Dalam temu bual baru-baru ini, Thomas berkata bahawa setakat yang beliau tahu, kertas siasatan SPRM terhadap SPRM dan beberapa yang lain masih belum lengkap.

Raja Petra bagaimanapun mendakwa siasatan itu sudah pun lengkap pada 2019, menurut apa yang dikatakan laporan SPRM itu, iaitu sebelum Thomas meletak jawatan.

No comments: