Usaha Kerajaan Negeri meminda had usia mengundi dari 21 kepada 18
tahun merupakan suatu pengiktirafan kepada generasi muda dalam menentukan hala
tuju negeri melalui pilihan raya.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, kelulusan Enakmen
Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021, yang membolehkan rakyat
Selangor berusia 18 tahun mengundi dan bertanding dalam pilihan raya akan
datang juga merupakan simbol kemenangan kepada anak muda yang memperjuangkannya
sejak 2018 lalu.
Di peringkat Selangor, katanya, pindaan yang diusulkan oleh Menteri Besar Datuk
Seri Amirudin Shari itu menunjukkan akan keprihatinan beliau terhadap isu
tersebut.
"Perkara ini diusulkan sendiri oleh MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
yang menjadi bukti betapa seriusnya Pakatan Harapan, khususnya KEADILAN
mengangkat anak muda dalam menentukan hala tuju negeri.
"KEADILAN Selangor menyokong penuh segala usaha dan tindakan untuk memberi
peluang dan ruang kepada anak muda dalam memastikan suara mereka lebih
didengari di peringkat lebih tinggi, bukan sekadar menjadi pemerhati,"
katanya.
Sehubungan itu, Halimey mahu anak muda agar mengambil bahagian aktif dalam
pelbagai program perintis yang disediakan kerajaan Selangor seperti Penggerak
Belia Selangor (PeBS), Selangor Volunteer (Serve) dan Team Selangor.
"Program program ini telah diwujudkan demi memberi pendedahan kepada anak
muda untuk bergiat aktif menyantuni rakyat dan dalam masa sama, mereka dapat
mempelajari perihal polisi dan dasar Kerajaan Negeri demi memastikan tiada
rakyat yang tercicir dari arus pembangunan.
"Dengan itu, KEADILAN Selangor menyeru seluruh anak muda bergiat aktif
dalam setiap program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
"Pasukan Penerangan akan turut sama membantu memberi pendedahan pendidikan
demokrasi dan politik demi melahirkan pemimpin yang bersahsiah tinggi,
berintegriti serta berjuang menegakkan keadilan demi mengangkat martabat
rakyat," katanya lagi.