Zahid dakwa Muhyiddin jadikan Najib ‘punching bag’

 


Panas! Zahid dakwa Muhyiddin jadikan Najib ‘punching bag’


Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meny ifatkan Muhyiddin Yassin cuba mengalih perhatian apabila mengaitkan bekas perdana menteri Najib Razak dengan isu menarik taraf Kompleks Seri Perdana di Putrajaya bernilai RM38.5 juta.

Katanya adalah tidak masuk akal apabila presiden Bersatu itu cuba mengaitkan Najib dengan isu berkenaan.

“Ia seolah-olah suatu “diversion strategy” atau strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang sedang dipersoalkan secara hebat ketika ini.

“Iaitu kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan PM-8 telah meluluskan perbelanjaan yang besar untuk kediaman rasmi PM pada waktu negara sedang berdepan krisis pandemik Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 30 Sep Muhyiddin mendakwa beberapa perabot di Seri Perdana dibawa keluar oleh Najib sebelum dia meninggalkan kompleks kediaman rasmi perdana menteri berkenaan.

Berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Muhyiddin, antara barangan yang dibawa ialah candelier

Muhyiddin juga menjelaskan kerja membaik pulih Seri Perdana itu dicadangkan oleh JPM dan Jabatan Kerja Raya. Pun begitu, menurut presiden Bersatu itu dia tidak tinggal di kediaman rasmi tersebut sepanjang tempoh menjadi perdana menteri.

“Jadi, ada perkara yang berbangkit adalah kerana antara perkara itu adalah perabot, candelier dan barangan-barangan yang ada di kediaman itu dikatakan dimiliki oleh perdana menteri keenam,” kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin mendakwa RM38.5 juta itu termasuk untuk perolehan perabot yang perlu dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana milik Najib telah dipindah keluar.

“Pertama, bukankah memang menjadi hak PM-6 untuk mengambil barangan peribadinya apabila tidak lagi boleh menduduki kediaman rasmi PM tersebut.

“Sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila sudah tidak lagi berkhidmat,” katanya.

Jelas, Ahmad Zahid, Najib hanya mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 18 November 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya.

Katanya, jika Kompleks Seri Perdana sudah tidak lagi dilengkapi dengan perabot peribadi milik Najib, maka wajar ia digantikan dengan perabot peribadi milik perdana menteri yang seterusnya.