Akaun luar persisir waktu bekerja di Filipina – William
Pendedahan Pandora Papers semalam yang melibatkan akaun luar pesisir terkait Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen tidak membawa makna hal berkenaan membabitkan perkara yang menyalahi undang-undang atau aktiviti meragukan.
William dalam kenyataan medianya hari ini menjelaskan hal-hal berkaitan syarikat Maxcorp (Asia) Overseas Ltd sebagaimana didedahkan adalah sebagaian daripada urusan firma guaman beliau dan pelanggannya korporatnya.
“Berkenaan dengan syarikat British Virgin Island, Maxcorp (Asia) Overseas Ltd, ini adalah masalah yang berkaitan dengan tindakan firma guaman saya, bagi pihak pelanggan dalam pekerjaan korporat biasa.
“Saya tidak dapat mendedahkan apa-apa perkara dalam kes ini kerana amalan peguamcara profesional dan kerahsiaan pelanggan, tanpa kebenaran pelanggan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala isu urusan kewangan berkaitan Collister Holdings Ltd (Jersey) pula, menurut William, berlaku ketika beliau bekerja di luar negara lebih dua dekad lalu dan tidak menyalahi apa-apa peraturan perundangan di Malaysia mahu pun Filipina.
“Collister Holdings Ltd (Jersey) diperbadankan pada tahun 1994 ketika saya menjadi Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Keluli Nasional Filipina, yang berpusat di Manila dari tahun 1994 hingga 1997.
Pakar kewangan dan cukai menasihatkan bahawa ini adalah cara terbaik untuk mengurus pendapatan saya, kewangan dan pelaburan sebagai ekspatriat. Semua ini dijalankan secara sah dan mengikut peraturan. Tidak ada pelanggaran undang-undang Malaysia mahu pun Filipina,” katanya lagi.