BERSAINGLAH KAMU KERANA KEDUA DUA PARTI ADALAH PENGKHIANAT KEPADA ORANG MELAYU

 


Persaingan Umno-Bersatu diramal sengit di kawasan Bumiputera Islam Sabah, kata penganalisis




Penganalisis berkata, pertembungan antara Umno dan Bersatu bakal menjadi ujian besar kepada GRS untuk terus kekal bersama mempertahankan mandat rakyat yang diperolehi selepas pilihan raya negeri lalu.

KOTA KINABALU: Persaingan di kawasan Bumiputera Islam di Sabah dijangka kompetitif sekiranya Umno dan Bersatu bertembung dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata penganalisis.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, selain dua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, ia juga diramal sengit dengan kehadiran Warisan yang bertanding di kawasan sama.

Katanya, setiap tiga parti itu mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri termasuk dari segi calon dan jentera.

“Jika pertembungan (Umno dan Bersatu) berlaku, perpecahan undi sudah pasti berlaku. Persoalannya siapa yang lebih mendapat manfaat?

Tony Paridi Bagang.

“Bersatu, Umno dan Warisan mempunyai kekuatan atau kelebihan masing-masing dan ia dipengaruhi pelbagai faktor seperti personaliti, penaungan, 3M (money, media, machinery) dan lain-lain lagi.

“Sentimen terhadap isu yang diketengahkan nanti pasti memberi pengaruh besar, justeru persaingan Bumiputera Islam akan sangat kompetitif kali ini.

“Berikutan itu, masyarakat Bumiputera bukan Islam khususnya KDM (Kadazan, Dusun dan Murut) juga dijangka menjadi penentu atau ‘kingmaker’ pada PRU nanti,” katanya kepada FMT.

Tony berkata, pertembungan antara Umno dan Bersatu itu juga bakal menjadi ujian besar buat GRS untuk terus kekal bersama mempertahankan mandat rakyat yang diperolehi selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Katanya, keputusan Umno untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU14 memang sudah dijangka walaupun ia sedar bakal bertembung dengan calon Bersatu.

“Ini juga akan menjadi persoalan. Sejauh mana Umno Sabah menikmati autonomi yang diberikan sebelum ini dengan mengambil kira dinamika politik Sabah,” katanya.

Awang Azman Pawi.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, Umno dilihat lebih memiliki peluang sekiranya ia bertembung dengan Bersatu pada PRU15 nanti.

Ini kerana katanya, parti itu dijangka mendapat lebih manfaat kerana kerajaan persekutuan kini dikuasai Umno.

“Umno dan Bersatu adalah rakan dalam GRS di Sabah, sekiranya pertembungan berlaku antara mereka nanti, Umno dijangka mendapat lebih banyak manfaat kerana kerajaan persekutuan di bawah kuasa Umno.

“Tambahan pula, Umno lebih ramai keahlian berbanding Bersatu di Sabah,” katanya.

Bagaimanapun Azman berkata, pertembungan itu belum tentu akan berlaku kerana mereka masih mempunyai banyak masa sebelum PRU diadakan.

“Masa masih panjang sebelum PRU diadakan dan ada banyak lagi perbincangan politik yang terus berlaku.

“PAU (Perhimpunan Agung Umno) memang memutuskan kerjasama dengan Bersatu hingga PRU15 dan ini bermakna Bersatu perlu berhadapan dengan musuh lamanya, iaitu Umno.

“Bagaimanapun, sekiranya pucuk pimpinan tertinggi Umno berjaya diambil alih oleh Ismail Sabri Yaakob dan kumpulan pro-Bersatu dalam Umno, maka pertembungan itu dapat dielakkan.

“Namun dari satu segi, ia akan memecahkan akar umbi Umno kerana ramai menolak Bersatu yang menjadi musuh mereka pada PRU lalu dan sukar bagi akar umbi menerima hakikat bahawa kerusi tradisi Umno akan ditandingi oleh calon Bersatu,” katanya.

Terdahulu pada Sabtu, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, mereka bersedia melawan Umno dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin kemudiannya berkata, parti itu juga sedia berdepan dengan Bersatu pada PRU15 akan datang.