UMNO JATUHKAN UMNO DI MELAKA. INI PETANDA BURUK ISMAIL SABRI DI PUTRAJAYA

 

Uniknya kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan Sulaiman Md Ali semalam berikutan penarikan sokongan 4 Adun ialah kerana ia merupakan kerajaan UMNO yang dijatuhkan oleh Adun UMNO sendiri.

Tidak seperti bagaimana kerajaan lain dijatuhkan, misalnya Ahmad Faizal Azumu atau Peja sebagai Menteri Besar Perak dan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri, semuanya digerakkan oleh UMNO bagi tujuan merampas kerusi ketua kerajaan yang dipegang oleh Bersatu.

Sebaliknya di Melaka ini, daripada 4 Adun yang menarik sokongan itu, dua darpadanya adalah wakil rakyat UMNO.

Yang mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan itu iaitu Idris Haron adalah Adun dan pemimpin UMNO serta bekas Ketua Menteri daripada UMNO sebelum ini.

Ringkasnya, kejatuhan kerajaan UMNO Melaka ini digerakkan dan diketuai oleh pemimpin UMNO sendiri.

Tentulah ada sebab-sebab yang kukuh, rasa tak puas hati terlalu mendalam, kecewa merobek jiwa, marah membara dan seumpamanya yang mendorong mereka berbuat demikian itu.

Sudahlah kalah dan ditolak pengundi pada 2018 lalu, kemudian dapat kuasa melalui pintu belakang tanpa menang undi, akhirnya kuasa yang ada pula dirobek geng sendiri.

Melihat semua ini, di sebalik ramai di antara kita tidak setuju dengan pengkhianatan dan tikam belakang, pengajaran daripada apa yang berlaku ini tidak harus begitu saja diketepikan.

Bila ada sesuatu yang tidak kena dan tuntutan tidak dipedulikan, jalan singkatnya tidak lain ialah menjatuhkan, walaupun terhadap rakan sendiri.

Situasi yang berlaku di Melaka ini, mahu tidak mahu harus diambil iktibar sewajarnya oleh Ismail Sabri Yaakob yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini.

Beliau tidak harus rasa selesa dan cuai terhadap persekitaran di sekelilingnya.

Situasi yang berlaku di Melaka di mana Ketua Menterinya dijatuhkan ini tidak banyak bezanya dengan suasana keberadaan Ismail Sabri di Putrajaya sekarang.

Mereka yang menekan, menuntut itu ini dan meminta macam-macam daripadanya tidak mustahil bila-bila masa boleh bertukar menjadi kecewa serta marah apabila apa yang diminta tidak dipenuhi.

Meski ada MOU dengan PH yang merupakan blok pembangkang utama sebagai sandaran untuk menjadikan kedudukannya lebih selesa, tetapi dengan rakan sendiri dalam UMNO atau kerajaan tiada apa-apa perjanjian bertulis yang dmetrai dengan mereka.

Yang boleh diberi jawatan, kedudukan, habuan dan pelbagai ganjaran mungkin ada yang terikat sementara untuk menyokongnya selagi nafsu mereka tidak menjadi lebih besar daripada keperluan duniawi, namun bagaimana dengan yang lain-lain?

Apakah selamanya mereka mahu Ismail Sabri jadi Perdana Menteri?

Dikelilingi pengkhianat dan mereka yang biasa berkomplot dan saling jatuh-menjatuhkan, sikap berhati-hati Ismail Sabri haruslah lebih tinggi, terutama kepada sesama sendiri.

Jika tidak, sejarah di Melaka bila-bila masa akan menjalar ke Putrajaya. 

 ShahbudinHusin 05/10/2021.


No comments: