Pergolakan politik Melaka berterusan, KM sedia jika ditukar

 

Pergolakan

Pergolakan politik Melaka berterusan, KM sedia jika ditukar.Pergolakan politik di Melaka tidak menjejaskan urusan pentadbiran negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, semua anggota Exco negeri masih menjalankan tugasan masing-masing seperti biasa dalam usaha menangani keresahan rakyat terhadap penularan wabak Covid-19 ketika ini.

“Siapa nak jadi Ketua Menteri, silakan, boleh jumpa dengan kepemimpinan (politik dan negeri).

“Saya berdiri di sini (menjalankan tugas seperti biasa) dan setakat hari ini kerajaan yang ada masih berjalan seperti biasa. Mengenai desas-desus politik di Melaka ini, saya pun tengok juga (sama ada) esok saya masih ada atau tidak (jadi kerajaan).

Pergolakan

“Dunia politik begitulah (keadaannya), khabar angin tu adalah perkara biasa dalam dunia politik. Namun, selagi saya diberi mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan negeri, saya akan menjalankan tugas seperti biasa dan apabila diminta turun, saya akan turunlah,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke Kampung Ayer Merbau, di sini hari ini.

Media semalam melaporkan keadaan politik Melaka dipercayai bergolak apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mendukung kerajaan, dikatakan bakal melompat ke parti pembangkang.

Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang sejak malam kelmarin selepas dipercayai empat nama yang dikatakan bakal beralih arah dengan menyertai Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Nasional (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam tempoh terdekat.

Antara nama Adun yang dikaitkan akan melompat kepada pembangkang termasuklah bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertemu dengan empat Adun terbabit, Sulaiman berkata, ia tidak mungkin berlaku.

“Kenapa saya nak jumpa dia? Kalau siapa nak jadi Ketua Menteri datanglah (jumpa saya) dan boleh jumpa pihak kepimpinan, itu je,” katanya.

No comments: