ADAKAH INI SOP BARU PEGUAM NEGARA, SPRM? SOAL PH

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat risau dengan trend kes mahkamah melibatkan individu-individu berprofil tinggi serta penyokong parti pemerintah yang telah dilepaskan atau dibebaskan dari pendakwaan dengan sama ada memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

Terbaharu adalah kes yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO yang didakwa menerima sejumlah wang dari Dato’ Sri Najib Razak yang dipercayai dana 1MDB.

Ahmad Maslan telah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tersebut setelah beliau membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula, dan walaupun media melaporkan pada mulanya beliau enggan membayar kompaun dan mahu kes ini dibicarakan.

Oleh yang demikian, kami menggesa Peguam Negara untuk beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.

Peguam Negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi operasi prosedur standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada “barang kes” tersebut?

Majlis Presiden juga kesal dengan sikap acuh tak acuh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) yang mengiakan trend baharu ini.

Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?

Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baharu Peguam Negara dan SPRM ini jelas melanggari prinsip bahawasnya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan (“justice must not only be done, it must also be seen to be done”).

Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai.

Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)


No comments: