Shuhada Abdul Kadir
Oktober 2, 2021
Anwar ditemui media sewaktu mengadakan lawatan di sekitar Telok Kemang, Port Dickson hari ini. - Foto Astro AWANI
PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi membincangkan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu ketika ini.
Malah katanya, beliau juga tidak ada membuat sebarang permohonan untuk menghadap Mohd Ali selain tidak mengetahui secara lebih lanjut tentang gerakan menukar kerajaan negeri itu.
“Ada berita saya mohon menghadap, saya tidak. Belum ada permohonan untuk saya menemui TYT (Tuan Yang Terutama).
“(Soalan: Belum ada perbincangan PH Melaka?) Saya bincang dengan semua Majlis Pakatan Harapan, dengan semua negeri. Paling akhir Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka. (Soalan: Ada gerakan tukar pentadbiran Melaka ? Itu tanya Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di sekitar Telok Kemang, Port Dickson hari ini.
Terdahulu, timbul dakwaan kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan dan difahamkan, keempat-empat ADUN itu sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).
Khabar angin itu turut bertiup kencang mendakwa Anwar juga memohon untuk menghadap Mohd Ali, namun permohonan itu ditolak.