Melaka bergolak: Pemimpin Umno cadang bubar saja Dun, buat PRN
Desas-desus kerajaan negeri Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan melompat ke Pakatan Harapa (PH).
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpandangan adalah lebih baik dibubar sahaja DUN Melaka dan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengikut SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jika tidak boleh diadakan pilihan raya negeri, beliau mencadangkan agar negeri Melaka diisytiharkan darurat seperti mana dibuat di Sarawak sebelum ini.
“Walaupun semacam sudah berdamai di pusat dengan berbagai kaedah seperti CSRA, Mesyuarat Dua Minggu Sekali, Peruntukan Ahli Parlimen Samarata, Speaker ke-3 untuk Pembangkang dll, semuanya memenuhi semangat ‘yang kalah tidak kalah semua, yang menang tidak menang semua’, politik negeri Melaka sudah mula berkocak.
“Kali ini, yang kalah di pusat, hendak menang pula di Melaka.
“Bagi saya, baik bubar DUN Melaka dan adakan PRN ikut SOP SPR. Kalau tak boleh, istihar Darurat macam di Sarawak.
“PRN untuk Sarawak tidak macam PRN untuk Melaka. Jadi, bagus sangatlah kalau diadakan PRN Melaka,” katanya ringkas.
Difahamkan, keempat-empat Adun berkenaan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).
Jika ini benar, bermakna kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bakal kehilangan tampuk pemerintahan.
Pada masa ini, kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.
Jika empat ADUN tersebut melompat, ia bermakna PH akan mempunyai majoriti 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memerintah.
Terdapat usaha sejak pagi tadi untuk menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, oleh wakil Adun yang ingin melompat.