Perubahan budaya politik harus bermula dengan pengundi, kata penganalisis

 

Penganalisis berkata budaya politik semasa ini diamalkan sejak dulu lagi apabila ahli-ahli politik yang berkuasa sering melihat pembangkang sebagai musuh mereka.

PETALING JAYA: Pengundi perlu memainkan peranan yang besar bagi membolehkan ahli-ahli politik melakukan perubahan diperlukan terhadap budaya politik di Malaysia, kata penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata perilaku seseorang ahli politik sering ditentukan oleh kepercayaan mereka yang membawa suara akar umbi.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang mengatakan pembaharuan sebenar tidak boleh dicapai selagi politik dianggap sebagai gelanggang untuk pihak yang menang dan kalah.

Pandikar mengeluarkan kenyataan itu dalam satu forum secara maya, Selasa lalu.

Oh Ei Sun.

“Ahli-ahli politik hanya cerminan kepada apa yang kita kehendaki. Mereka memanfaatkan persepsi dan budaya kita sendiri sebagai pengundi,” katanya kepada FMT.

“Jadi, jika kita sebagai pengundi ingin melihat lebih banyak budaya politik yang berdiri di atas kesepakatan, ia perlu ditunjukkan kepada ahli-ahli politik ini.”

Bagaimanapun, Oh berkata perubahan terhadap institusi untuk mengurangkan ketetapan semasa untuk menang dilihat sebagai perkara yang rumit.

Katanya, perubahan mungkin diperlukan untuk meningkatkan lagi kerjasama secara bipartisan tetapi ia sememangnya perlu dimulakan dengan kerjasama itu sendiri.

“Ini umpama situasi ‘ayam dan telur’,” katanya.

Azmi Hassan.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, budaya politik semasa ini diamalkan sejak dulu lagi apabila ahli-ahli politik yang berkuasa sering melihat pembangkang sebagai musuh mereka.

“Mungkin pada satu tahap, ini adalah kesalahan pihak pembangkang. Mereka sering mengkritik dan bukannya cuba memperbaiki dasar,” katanya.

Azmi berkata, pengundi harus menunjukkan keinginan mereka terhadap integriti, tatacara yang baik dan kerjasama selain media.

“Peranan media amat kritikal dalam mengutarakan ketidakpuashatian rakyat terhadap budaya semasa, di mana ideologi boleh berubah secara tiba-tiba,” katanya.

No comments: