AHMAD MASLAN DICALON TIMBALAN SPEAKER PARLIMEN, TIDAKKAH INI MELANGGAR SOKONGAN BERSYARAT PN?

 Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dilaporkan akan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker 

Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen yang bermula Isnin depan.

Pencalonan beliau adalah bagi mengisi kekosongan jawatan itu yang sebelum ini dipegang oleh Azalina Othman Said.

Berikutan pertukaran Perdana Menteri daripada Mahiaddin Md Yasin kepada Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang telah mengambil keputusan meletakkan jawatannya.

Pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker yang difahamkan telah dipersetujui oleh kerajaan adalah sebagai tindakan untuk membelai hati UMNO, khususnya kumpulan kluster mahkamah yang dipinggirkan dalam sususan kabinet Ismail Sabri.

Dengan memberi laluan Ahmad Maslan menjadi Timbalan Speaker Parlimen, Ismail Sabri dipercayai dapat melunakkan hati kumpulan tersebut, di sebalik mereka itu telah berjasa besar dalam menjatuhkan Mahiaddin sebelum ini.


Memandangkan tiada nama lain difahamkan akan dicalonkan bagi pihak kerajaan mengisi jawatan itu, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dipercayai tiada masalah untuk mendapatkan sokongan daripada 114 Ahli Parlimen blok kerajaan.

Begitu pun, memandangkan beliau sedang berdepan kes mahkamah berkaitan penggubahan wang haram, pemilihannya sebagai Timbalan Speaker Parlimen akan mencatat sejarah baru bagi negara.

Ini akan menjadikan beliau satu-satunya calon yang sedang dibicarakan di mahkamah pernah dicalonkan bagi jawatan itu dan seterusnya terpilih menjadi Timbalan Speaker Parlimen.

Setelah memegang jawatan itu nanti, Ahmad Maslan juga akan menjadi Timbalan Speaker Parlimen yang pertama perlu pergi ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan berkaitan pertuduhan penggubahan wang haram yang dihadapkan kepadanya.

Adakah ini suatu norma baru bagi kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri?

Atau adakah pertuduhan terhadap Ahmad Maslan akan digugurkan sebaik beliau terpilih sebagai Timbalan Speaker bagi menjaga nama baik dan kemuliaan institusi Parlimen?

Selain daripada itu, dengan bersetuju terhadap pencalonan Ahmad Maslan juga bermakna Ismail Sabri telah dengan sengaja melanggar syarat gabungan Perikatan Nasional atau PN sebelum ini yang menolak sebarang pemberian jawatan dalam kerajaankepada kumpulan kluster mahkamah UMNO.

Pengerusi PN, Mahiaddin dalam kenyataan media sebaik perlantikan Ismail Sabri menegaskan, sokongan pihaknya kepada Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri adalah sokongan bersyarat.

Syaratnya iaitu agar tiada sesiapa daripada kluster mahkamah yang sedang dibicarakan di mahkamah diberikan apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Memang Ismail Sabri tidak melantik sesiapa daripada kluster mahkamah sebagai menteri atau timbalan menteri, tetapi apakah memberi jawatan sebagai Timbalan Speaker Parlimen tidak bererti memberi jawatan dalam kerajaan juga dan melanggar syarat PN itu?

Lagi pula, berbanding jawatan dalam kerajaan sebagai menteri atau timbalan menteri, tidakkah jawatan dalam institusi Parlimen lebih suci dan penting untuk dipelihara?

Jadi, apakah dalam hal ini PN yang mempunyai 50 Ahli Parlimen yang sebelum ini menegaskan sokongan mereka adalah sokongan bersyarat masih sedia memberi sokongan kepada Ahmad Maslan?

Ataukah oleh kerana Mahiaddin sudah diberikan jawatan Pengerusi MPN bertaraf menteri, maka PN akan akur dan tunduk kepada apa saja tindakan Ismail Sabri dan UMNO serta boleh melupakan syarat yang pernah diberi sebelum ini?


 – ShahbudinHusin 10/09/2021.

No comments: