ZAKARIA MUSA
Umno sudah berada hanya setapak lagi untuk berkuasa mutlak
seperti era sebelum Mei 2018.
Mungkin pemimpin Umno sendiri kaget dan takjub dengan pencapaian
yang luar biasa itu. Hanya tidak sampai dua tahun Umno berada di posisi
pembangkang.
Tidak sempat serasi, apatah lagi sehingga dapat menghayati asam
garam kehidupan sebagai pembangkang.
Mulanya, dengan pengkhianatan sebahagian ahli-ahli parlimen PKR
dan Bersatu, juga sokongan bulat daripada Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),
maka Umno berpeluang masuk balik dalam kerajaan pintu belakang.
Majoriti pemimpin PKR dan Bersatu itu asalnya pun daripada
spesis Umno-BN juga. Tapi yang menakjubkan adalah sikap Pas. Bermati-matian Pas
berjuang untuk menjatuhkan Umno sejak awal ditubuhkan 70 tahun lalu. Berani
berdepan pelbagai risiko dan penindasan sehingga ada ahli dan pemimpinnya yang
terkorban, tapi akhir-akhirnya berdakapan mesra dengan Umno.
Lebih tragis, Pas telah membantu mendukung Umno semula untuk
menjadi teraju utama kerajaan. Umno dengan rupa bentuk dan semangatnya yang
asal. Umno yang mengasaskan budaya politik jelik, sarat dengan korupsi,
salahguna kuasa, kronisme.
Presiden Pas menandatangani akuan bersama Bersatu dan Umno
semasa kemelut pelantikan Menteri Besar Perak, Disember tahun lalu.
Bermain mata
Sikap politik Pas ini mula dikesan sekitar 2015 lagi. Kumpulan
pemimpinnya yang rapat dengan Presiden Pas, bermain mata dengan perdana
menteri, sang kleptokrat Najib Razak.
Pas waktu itu tidak lagi serasi dengan parti-parti pembangkang
yang lain, PKR dan DAP. Ada-ada sahaja isu yang mencetuskan rasa tidak puas
hati terhadap parti sekutu dalam Pakatan Rakyat.
Pas lebih cenderung menggunakan dalih berunsur perkauman; Pas
sudah bermesra-mesra dengan elemen asobiyah yang ditentang kuat sejak
bermulanya era kepimpinan ulamak.
Sedang Najib berdepan isu paling kontroversi mencuri berbilion
ringgit dana awam, anehnya Pas mengambil sikap cukup lunak. Bertiup kencang
gosip politik bahawa Pas juga menerima “suapan” lumayan daripada Umno, termasuk
bertujuan untuk menyingkirkan kelompok yang dilabel “Anwarinas, jebon,
anti-ulamak” dan sebagainya.
Malah, ada pendedahan menjelang PRU-14, yang disertakan bukti
slip transaksi bank, perpindahan wang berjuta ringgit daripada pemimpin Umno ke
dalam akaun Pas.
Tentu sekali Pas menafikannya dan menyifatkan pendedahan itu
sebagai fitnah semata-mata. Dan reaksi majoriti ahli-ahli Pas pastinya “kami
dengar dan kami patuh” dengan apa jua sikap pemimpin. Namun, penafian Pas itu
cukup longgar; sekadar berkata-kata dengan lidah tidak bertulang.
Talam dua muka
Dalam banyak keadaan pun, Pas juga mengakui ia terpaksa bercakap
tidak benar (berbohong) demi kepentingan dan survival parti. Maknanya, menerima
duit atau bantuan Umno itu adalah keperluan strategik Pas dan bagi pemimpinnya
ia langsung tidak memberi walaupun sedikit kudis buat imej parti Islam itu.
Berdepan pengundi yang rata-ratanya cukup marah dan muak dengan
rejim Najib-BN ketika itu, Pas bermati-matian menafikan ia sedang bermukah
dengan Umno.
Maknanya, sokongan yang Pas raih dalam PRU-14, sehingga mampu
menguasai Kelantan dan Terengganu, dan meraih jumlah kerusi yang besar dalam
Dun Kedah-Pahang, juga 18 kerusi Parlimen adalah berpunca daripada gelombang
besar penolakan kepada Umno-BN.
Sesungguhnya, Pas nampak tidak rasa bersalah pun atas sikap
talam dua muka itu. Pendirian politiknya bagai flip-flop dengan dalih strategi
atau pendekatan boleh berubah mengikut keperluan semasa.
Walhal, apa yang dilakukannya itu adalah pendustaan, yakni
berbohong kepada pengundi. Lebih buruk lagi, sikap Pas seolah-olah menerima
jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melampau.
Sudahlah Pas juga bersekongkol dan menjayakan komplot
pengkhianatan yang merampas mandat rakyat dalam PRU-14. Tanpa sokongan Pas,
Umno masih berada di posisi pembangkang dan agenda reformasi masih boleh
dilaksanakan.
Sementara Umno belum pun serik dihukum pengundi, ia bingkas menduduki
takhta kuasa, bermula sebagai rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) dan 17 bulan
selepas itu, menjadi perdana menteri. Di Malaysia, kerusi PM begitu “powerfull”
sekali, manakala mekanisme semak-imbang tidak berfungsi dengan berkesan.
Kini, Umno tidak lagi tunduk malu kesipuan. Umno kini mampu
berdada dan “tegak kepala” dengan megahnya. Umno sudah memperolehi apa yang
dihajatinya.
Malah dunia antarabangsa — melalui laporan media asing -
mengesahkan bahawa rejim kleptokrasi Malaysia sudah kembali berkuasa. Dan Pas
tentunya boleh tumpang berbangga akan sumbangan besarnya menaikkan gerombolan
para koruptur itu!