Majlis Presiden PH didesak putuskan segera logo PH untuk PRU 15 – Hadi Hairie

 


Majlis Presiden PH didesak putuskan segera logo PH untuk PRU 15 – Hadi Hairie

 

Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar kali ke 5 telah meluluskan usul mendesak Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan segera penggunaan logo Pakatan Harapan untuk digunakan dalam Pilihanraya Umum ke 15.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar, Muhammad Hadi Hairie Kamarudin mewakili Pemuda AMANAH Parit Buntar membawa usul berkenaan dalam Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar yang diadakan secara dalam talian.

Hadi Hairie berkata, keputusan segera Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu dibuat memandangkan Pilihanraya Umum ke 15 sudah semakin hampir.

“Logo Pakatan Harapan perlu di sebar luas supaya dikenali pengundi kerana ramai pengundi yang belum mengenali logo Pakatan Harapan terutama di kawasan luar bandar.

“Faktor penggunaan logo PH pada PRU ke 15 akan datang boleh memberi kesan negatif kepada calon PH yang akan bertanding “ katanya semasa membentangkan usul berkenaan.

Menurut Hadi Hairie , logo PH tidak digunakan secara maksimum oleh parti-parti dalam PH kerana Majlis Presiden PH belum memutuskan lagi penggunaan logo untuk pilihanraya.

“Walaupun ada parti seperti AMANAH Kawasan Parit Buntar yang sudah mula memasang bendera PH di Parit Buntar untuk dikenali pengundi.

“Namun secara keseluruhannya, semua parti masih menggunakan bendera masing-masing semasa aktiviti parti” katanya.

Sebelum ini Pakatan Harapan telah menggunakan logo PH bermula Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan PRK DUN Seri Setia bagi membuktikan wujud kesepakatan politik antara parti gabungan itu.

Sementara itu, Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar yang diadakan secara dalam talian telah dihadiri 133 perwakilan mewakili 43 cawangan AMANAH di Parit Buntar.

Setiausaha AMANAH Kawasan Parit Buntar, Ahmad Firdaus Mohamad berkata, kehadiran perwakilan amat membanggakan walaupun berhadapan dengan masalah talian internet.

“Ramai lagi yang tidak dapat masuk kerana capaian internet yang rendah di beberapa kawasan di Tanjung Piandang, Kuala Kurau dan Titi Serong.

“Memandangkan inilah kali pertama kami mengadakan secara talian , kehadiran perwakilan seramai ini sudah amat baik” katanya

Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Parit Buntar telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi AMANAH Negeri Perak, Datuk Asmuni Awi.


No comments: