1. PRU15 akan berlangsung kurang dua tahun dari sekarang. Isu
penggunaan logo bertiup kencang di dalam Pakatan Harapan.
2. DAP dan Amanah nampaknya mahu logo rasmi Pakatan Harapan
digunakan dalam PRU15, manakala Keadilan mencadangkan Logo Keadilan. UPKO
selaku komponen termuda masih tidak menyatakan pendirian. Nampak kecil dan
remeh tetapi isu ini sangat penting ditangani sebaiknya dan perlu diselesai
segera. Sebarang isu walau sekecil mana sekalipun wajib diselesai secepat
mungkin oleh pimpinan. Jangan biar ia berlegar-legar terlalu lama. Calar kalau
tidak dirawat boleh menjadi kudis, dari kudis menjadi pekung, dari pekung
bertukar kanser. Dan waktu itu sudah terlambat merawatnya.
3. Semua pihak ada hujah tersendiri. Ada fakta dan data. Ada
kebenaran yang menyokong pendapat masing-masing.
4. Mengapa logo sangat penting dalam PRU khususnya PRU15? Logo
adalah lambang yang akan digunakan dalam kerja kempen. Logo akan memperkenalkan
parti dan calon. Lebih penting logo akan dimasukkan di dalam kertas undi untuk
memudahkan pengundi memilih parti mana dan calon yang mewakili parti tersebut.
Ada pengundi memilih parti tanpa mengira siapa calon, ada pengundi memilih
calon tanpa menghirau parti diwakili, ada pengundi melihat kedua-duanya. Jadi,
memilih dan memutuskan logo yang tepat oleh Pakatan Harapan adalah sangat
penting.
5. Bagi menyelesaikan isu penggunaan logo oleh Pakatan Harapan,
parti-parti komponen harus membuka minda seluasnya, mendengar hujah semua
pihak, meneliti secara terperinci kepada kelebihan dan kekurangan logo-logo
yang dicadangkan. Akhirnya pilihlah logo yang punya kelebihan melebihi
kekurangan. Yang paling utama ialah logo yang dipilih wajib telah sangat
dikenali dan sinonim dengan pengundi.
6. Sebelum PRU14 tahun 2018, Pakatan Harapan belum diluluskan
oleh ROS. Bergerak hanya atas nama yang dipopularkan namun tidak dapat
memperkenalkan satu logo rasmi. Pakatan Harapan hanya diluluskan pendaftaran
sejurus selepas PRU14. Logo Pakatan Harapan diperkenalkan selepas itu.
7. PRU14 Pakatan Harapan sebulat suara bersetuju menggunakan
logo Keadilan bagi semua calonnya. Pemilihan logo Keadilan ini dibuat
berdasarkan Keadilan sebagai sebuah parti yang mempunyai Cabang hampir di semua
Parlimen di seluruh negara dan logo Keadilan mampu menarik sokongan pengundi
yang pelbagai kaum. Manakala PPBM, Amanah dan Warisan adalah parti baru yang
masih belum dikenali ramai dan bersifat memperjuang kaum tertentu sahaja.
Penggunaan Logo DAP pula difikirkan tidak sesuai mewakili Pakatan Harapan
kerana DAP dilihat parti yang lebih bersifat "kecinaan" walaupun
hakikatnya tidak begitu. Namun realitinya logo DAP tidak mampu menarik sokongan
pengundi luar bandar kerana kawasan parlimen luar bandar majoriti pengundinya
adalah kaum Melayu.
8. Berbalik kepada PRU15. Logo mana yang lebih sesuai digunakan?
Logo Rasmi Pakatan Harapan atau mengekalkan penggunaan logo Keadilan sekali
lagi? DAP dan Amanah sepakat mahu menggunakan logo rasmi Pakatan Harapan. Hujah
mereka mudah. Sebagai sebuah pakatan politik rasmi yang sudah sah
pendaftarannya, maka Pakatan Harapan wajib menggunakan logo rasmi yang juga
sudah didaftarkan di ROS. Mereka turut berhujah penggunaan logo rasmi Pakatan
Harapan akan memuasksn hati semua parti komponen dan tidak dilihat menjaga
kepentingan satu parti sahaja. Bagi mereka semua parti komponen dalam Pakatan
Harapan mempunyai hak yang sama. Hujah ini ada betulnya, tiada yang salah.
9. DAP dan Amanah menambah, penggunaan logo Keadilan akan
dilihat menjaga kepentingan Keadilan sahaja. Lebih terkesan kata mereka ialah
tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan adalah disebabkan pengkhianatan oleh
Ahli-Ahli Parlimen Keadilan. Ini memberi kesan negatif jika logo Keadilan
digunakan. Hujah yang ini boleh dipertikai ketepatannya.
10. Kedua-dua parti hanya melihat penggunaan logo Keadilan dalam
ruang lingkup yang sempit. Dasar perjuangan Pakatan Harapan itu sendiri secara
menyeluruh diambil dari dasar perjuangan Keadilan. Tunjang Reformasi yang
dibawa oleh Pakatan Harapan merupakan intipati perjuangan Keadilan sejak dari
era reformasi sebelum Keadilan ditubuhkan sebagai sebuah parti politik. Apabila
sudah tertubuhnya Keadilan, Reformasi dijadikan dasar dan slogan perjuangan.
Mengatakan tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan secara mutlak disebabkan
pengkhianatan segelintir Ahli Parlimen Keadilan adalah hujah yang tersasar.
Walaupun 11 Ahli Parlimen Keadilan melompat parti, jika Mahathir tidak
meletakkan jawatan, Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan tumbang. Masih ada
jalan untuk mempertahankan Kerajaan Pakatan Harapan. Mengatakan logo Keadilan
tidak sesuai digunapakai kerana nama Keadilan yang sudah dipandang buruk oleh
pengundi gara-gara lompat parti juga meleset. Dalam peristiwa tumbangnya
Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat negeri ada Wakil Rakyat DAP dan Amanah
juga melompat parti dan menyumbang kepada kejatuhan ini. Isu lompat parti
sebenarnya melibatkan Wakil Rakyat ketiga-tiga parti komponen Pakatan Harapan.
Oleh itu menuding jari hanya kepada Keadilan adalah satu sikap yang tidak
bertanggungjawab.
11. Para pendokong Keadilan pula menyatakan pendirian supaya
logo Keadilan dikekalkan untuk digunapakai oleh semua calon Pakatan Harapan
bersandarkan faktor-faktor berikut:
a) Logo ini sangat dikenali oleh semua pengundi di seluruh
negara.
b) Keadilan adalah parti berbilang kaum yang selesa diterima
oleh pengundi yang berbilang kaum juga.
c) Dasar perjuangan Keadilan dan perlaksanaan perjuangannya yang
tidak bersifat rasis dilihat mampu menarik sokongan secara menyeluruh.
d) Perjuangan reformasi yang Keadilan pelopori dan perjuangkan
menekankan aspek keadilan, kesaksamaan dan kebersamaan, bertujuan membawa
perubahan sistem pentadbiran kerajaan, badan kehakiman dan parlimen ke arah
yang lebih baik demi kebaikan rakyat dan negara.
e) Landskap politik negara mengalami perubahan drastik bermula
dari September 1998 selepas DSAI dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri
dan Umno. Keadilan membuktikan telah mampu merubah corak pemikiran pengundi dan
rakyat, menjadi lebih terbuka dan berani.
f) Faktor idealisme perjuangan DSAI mendominasi fikrah
perjuangan Keadilan dan Pakatan Harapan.
g) Keadilan satu-satunya parti yang mempunyai Cabang di semua
222 Parlimen dengan lebih 1000 Ranting berbanding parti-parti komponen lain.
Oleh itu logo Keadilan telah dan sedang berkibar di seluruh pelosok negara.
h) Penggunaan logo Keadilan dalam PRU14 diterima majoriti
pengundi dan rakyat sehingga membawa kemenangan. Oleh itu penggunaan logo
Keadilan di PRU15 kekal relevan.
i) Logo Pakatan Harapan belum sesuai digunakan dalam PRU15
kerana promosinya belum menyeluruh. Dan majoriti pengundi masih belum "serasi"
dengan logo ini.
j) Logo Pakatan Harapan dikatakan sangat "dekat"
dengan kelibat Mahathir, Bekas Pengerusi yang telah memalit nama buruk kepada
Pakatan Harapan. Mahathir tidak lagi menjadi pilihan pengundi dan rakyat.
Mahathir telah mencemar nama dan logo Pakatan Harapan. Sikap dan tindakan
beliau semasa menjadi Perdana Menteri amat merugikan Pakatan Harapan.
k) Masa singkat kurang dua tahun dari PRU15, ditambah kekangan
pergerakan pemimpin ke seluruh negara akibat PKP, menyebabkan promosi logo Pakatan
Harapan tidak berjalan secara efisyen. Promosi melalui media khususnya medsos
tidak memadai.
12. Berdasarkan pro dan kontra hujah-hujah tersebut, maka
penggunaan logo Keadilan lebih mendepani berbanding logo Pakatan Harapan untuk
PRU15. Ini bukan masa yang sesuai untuk bereksperimen dengan logo Pakatan
Harapan. Ini masa untuk berdiri di atas realiti bahawa Pakatan Harapan wajib
memenangi PRU15 dengan strategi yang betul termasuk strategi penggunaan logo.
Peluang Pakatan Harapan untuk menang sekali lagi amat cerah. Kekuatan sedia ada
sudah mencukupi, namun usaha menambah baik kekuatan wajib diteruskan tanpa
henti. Pihak lawan terdiri daripada Umno, PPBM, PAS, GPS, MCA, MIC dan
lain-lain berada dalam keadaan amat lemah. Mereka tidak akan mampu bekerjasama di
antara satu sama lain. Ini peluang besar untuk menewaskan mereka dengan
majoriti lebih besar. Tetapi jangan pula Pakatan Harapan tewas kerana kesilapan
dan kelemahan diri sendiri. Semua faktor memihak kepada Pakatan Harapan.
Strategi kena tepat dan betul.
13. Semua aspek faktor kemenangan wajib digembeling sebaik
mungkin termasuk isu logo. Capai dulu kemenangan di PRU15. Selepas itu, usaha
membersihkan nama dan memperkenal logo Pakatan Harapan boleh dilakukan dengan
menyeluruh dan berkesan.
14. Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, haluan sudah
ditetapkan, kemudi sudah diturunkan, jangan pula tali pengikat tidak
dilepaskan.
Bulat air kerana pembentung, bulat PH kerana muafakat.
Salam hormat
Aki Rock