BILA HILANG RASA MALU

 

NIK HASYUDIN

Bila hilang rasa malu #ambangmalaysia

Selepas saya menghabiskan tempoh sebagai ahli Majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) pada kali pertama, timbul satu isu etika di dalam mesyuarat agong MIA.
Di dalam pemilihan ahli Majlis MIA di ketika itu ada seorang calon yang sedang diambil tindakan disiplin oleh badan profesional beliau. Walaupun belum didapati bersalah, satu kampung dah tahu. Ahli Majlis MIA ini melambangkan kepimpinan satu profesion yang berdiri di atas nilai-nilai seperti integriti. Oleh itu, ahli-ahlinya bukan sahaja kena melambangkan nilai-nilai demikian tetapi kena nampak menghidupkan nilai-nilai demikian.
Oleh kerana peraturan MIA tidak ada bab yang boleh menghalang orang yang demikian dari bertanding, saya telah diminta untuk menaja satu resolusi di dalam mesyuarat agong supaya calon berkenaan digugurkan. Resolusi itu diluluskan di dalam mesyuarat agong maka terselamatlah MIA dari mempunyai Ahli Majlis yang tidak selari dengan nilai-nilai profesional yang didukung oleh MIA.
Saya kira orang yang membentuk peraturan MIA menjangka ahli-ahli MIA ada maruah dan malu untuk menawarkan diri sebagai Ahli Majlis apabila dia terlibat dengan isu-isu profesional dan etika, walaupun belum disabitkan. Ni anggapan orang-orang ditahun 60’s lah. Mereka tidak boleh bayangkan akan ada satu zaman yang mana orang tidak berasa malu-malu walaupun muka sudah terconteng arang.
Normalisasi perkara yang buruk ini adalah satu proses yang boleh terjadi di dalam mana-mana masyarakat. Apabila Donald Trump menjadi Presiden Amerika walaupun bergelombang dengan pelbagai tuduhan, dia sebagai pemimpin telah berjaya menjadikan penyokong-penyokongnya untuk menerima gelagatnya seperti menipu sebagai biasa. Semasa dia menjadi Presiden, dia kena bayar gantirugi sebanyak USD 25 juta kerana dikatakan menipu pelajar-pelajar universiti miliknya.
Bagi masyarakat kita, di antara kemungkaran yang telah dinormalisasikan ialah rasuah dan salahguna kuasa. Bahkan, orang yang melakukannya dan sudah sabit di mahkamah pun dipandang mulia sehinggakan orang berebut-rebut untuk mencium tangan orang-orang seperti ini. Sejahterakah masyarakat jika perkara ini berterusan?
Sedih juga apabila ada seruan supaya tidak malu-malu walaupun satu kampung tahu apa yang golongan ini lakukan apabila fakta dan maklumat berkenaan dengannya kelakuan itu tersebar luas.
Oleh itu, di antara sebab kepada masalah yang kita hadapi sekarang sebagai satu masyarakat ialah keruntuhan nilai walaupun ramai di antara kita di sana sini yang mahu agama dilaksanakan. Mungkin kita sudah lupa sifat malu itu adalah nilai yang mulia di dalam agama kita. Adakah kita sudah termasuk di dalam golongan yang memilih-milih bahagian agama mana yang nak kita laksanakan dan yang mana nak kita tinggalkan?
Kita tidak boleh marah kepada orang-orang yang tidak malu dengan kesalahan mereka dengan apa yang mereka lakukan apabila diberikan kedudukan yang ada kuasa. Siapa yang sepatutnya disalahkan sekiranya orang-orang seperti ini diangkat ke atas?
Apabila dosa sudah dinormalisasikan, hilanglah perasaan malu kerana dosa itu sudah menjadi sebahagian dari nilai masyarakat walaupun mereka menuntut itu dan ini dari agama mereka.
Semoga Allah merahmati kita dengan keupayaan menilai mana yang benar dan mana yang batil serta menuruti yang benar dan meninggalkan yang batil.

No comments: