APA BARANG KENA GULING...TAK KAN DOK SAJA DAH KENA TAPAW...

 


Muhyiddin diguling: Wan Fayhsal pujuk ahli Bersatu jangan bersedih


Muhyiddin diguling: Wan Fayhsal pujuk ahli Bersatu jangan bersedih.



Walaupun presiden mereka tidak lagi menjadi perdana menteri, tidak ada sebab untuk ahli Bersatu bersedih hati, sebaliknya mereka mesti berbangga.

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata langkah yang diambil Muhyiddin Yassin awal minggu ini menunjukkan ahli parlimen Pagoh itu berjiwa besar.

Katanya Muhyiddin meletakkan kepentingan diri ke tepi sebaliknya mengutamakan negara dan rakyat serta menolak kerosakan yang lebih besar.

“Inilah pemimpin yang cakap serupa bikin, persis lilin yang membakar diri,” katanya dalam kenyataan awal malam ini.

Ia dibuat beberapa jam selepas Istana Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baru negara ini menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Untuk rekod di sebalik kedudukannya yang kanan dalam Umno, Ismail Sabri dilantik menjadi timbalan kepada Muhyiddin pada 7 Julai lalu.

Apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu agar semua ahli parlimen mereka menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 3 Ogos, Ismail Sabri kekal dengan sokongannya kepada Muhyiddin.

Daripada sembilan ahli parlimen Umno yang menjadi menteri, hanya dua akur dengan arahan MKT iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah, dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Sudah berkorban banyak

Wan Ahmad Fayhsal berkata dia faham ramai ahli Bersatu sedih dan kecewa apabila Muhyiddin tidak lagi menjadi perdana menteri.

“Kenapa kita perlu bersedih sedangkan Tan Sri Presiden sendiri yang paling awal menurunkan sokongan kepada YAB Dato’ Seri Ismail Sabri, untuk menjadi pengganti beliau!” katanya.

Sebagai ahli Bersatu, kita bekas timbalan menteri belia dan sukan itu lagi, mereka patut berbangga kerana Muhyiddin menunjukkan contoh yang cemerlang selaku pemimpin Melayu tersohor.

Katanya Muhyiddin berkorban untuk mengelakkan perpecahan Melayu dan menjaga nyawa serta kehidupan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Bayangkan kalau kita pertahankan ego dan asabiyah kepartian kita, apa jadi kepada kesatuan yang kita bina bersama semua rakan-rakan yang membentuk kerajaan PN sebelum ini?

“Jangan marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar! Akhirnya menang sorak, kampung tergadai persis pembangkang yang bercempera kerana masing-masing tak mahu mengalah untuk menjadi calon perdana menteri,” katanya.

Sebelum ini juga kata Wan Ahmad Fayhsal Bersatu sudah berkorban banyak seperti dilakukan di Johor, Melaka dan Perak.

“Tapi tetap tindakan-tindakan politik yang dibuat oleh Muhyiddin kekal sama dan istiqamah memelihara integriti kerajaan dan kestabilan politik.

“Tiada politik membalas dendam kerana kita faham norma politik baru di Malaysia adalah berasaskan muafakat koalisi yang perlu bertolak ansur demi kestabilan negara,” katanya.

No comments: