MINYAK PUN NAK KENA KAJI DAN TETAP HARGA SYILING ? TAK PANDAI BUAT KERJA KA APA?


Kerajaan kaji penetapan harga siling minyak masak botol ikut harga semasa


Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid berkata mesyuarat akan membincangkan cara mengatasi masalah kenaikan harga minyak masak. (Gambar Bernama)

SUNGAI BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji untuk menetapkan harga siling minyak masak botol 5kg mengikut harga pasaran semasa.

Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid berkata perbincangan mengenai harga siling itu akan diadakan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan, Rabu ini.

“Mesyuarat akan membincangkan bagaimana hendak mengatasi masalah ini (kenaikan harga minyak masak).

“Keputusan itu (penetapan harga siling minyak masak) kita akan tengok dalam mesyuarat nanti,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bekalan minyak masak dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau berkata minyak masak mengalami kenaikan harga ketika ini susulan kenaikan harga minyak sawit mentah.

Rosol dalam pada itu turut membidas dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang bahawa minyak masak 1kg yang disubsidi kerajaan adalah minyak kitar semula.

Beliau berkata kerajaan menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak sekilogram bersubsidi sebulan untuk seluruh negara dan jumlah dijangka mencukupi memandangkan kadar purata penggunaan minyak masak sekeluarga adalah 1.8kg sebulan.

Menurut Rosol, beliau bimbang sekiranya terdapat peniaga yang akan mengambil kesempatan terhadap subsidi minyak masak dan sehubungan itu, para pegawai KPDNHEP akan sentiasa turun padang bagi melakukan pemantauan.

Katanya sejak 13 Mei tahun lepas hingga kini, KPDNHEP sudah memeriksa 590,876 premis perniagaan termasuk stesen minyak, restoran, pasar raya dan pusat beli-belah serta mengeluarkan 346 kompaun bernilai RM1.091 juta kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

No comments: