Naikkan bantuan RM500 kepada RM2,000 selepas lanjut PKP, gesa PH


PH berkata, susulan lanjutan PKP penuh, pakej bantuan kepada rakyat terkesan juga perlu diberikan.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan meningkatkan bantuan sekali beri sebanyak RM500 kepada RM2,000 berikutan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh sehingga 28 Jun ini.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH berkata, susulan lanjutan itu, pakej bantuan kepada rakyat terkesan juga perlu diberikan.

Mereka turut menyokong lanjutan PKP penuh selama dua minggu lagi, selepas mengambil kira jangkitan Covid-19 masih tinggi yang melebihi 5,000 kes sehari.

“Bantuan one-off RM500 (bagi pendapatan di bawah RM2,500) atau RM300 (pendapatan RM2,500 hingga RM5,000) masih terlalu kecil, dan hanya menerima bantuan tersebut pada hujung bulan ini.

“Cadangan jawatankuasa adalah pemberian bantuan ‘one-off’ mesti dipercepatkan dan dinaikkan kepada RM2,000 dan RM1,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan diberikan kepada golongan M40 seperti yang dipersembahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Setakat ini, hanya B40 yang diberikan sedangkan M40 juga terjejas teruk.”

Mereka turut menuntut subsidi upah dilanjutkan kepada tiga bulan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mengelakkan pekerja dibuang kerja seperti yang disarankan kumpulan majikan dan pekerja.

Selain itu, subsidi atau rebat bil elektrik sebanyak 30% mesti diberikan kepada pengguna domestik kerana penggunaan elektrik di rumah akan bertambah sepanjang PKP.

Mereka juga meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) lebih bertanggungjawab dalam memberi kelulusan kepada jenis perniagaan yang layak beroperasi sepanjang PKP 3.0.

“Telah berlaku insiden di mana terlalu banyak kelonggaran diberikan kepada pelbagai jenis perniagaan untuk beroperasi, iaitu lebih daripada 17 sektor yang dibenarkan.

“Keadaan ini tidak membantu, malahan merencatkan usaha untuk melandaikan lengkuk Covid-19.”

No comments: