SELAIN MAHIADDIN YANG GILA KUASA, PUNCA MASALAH NEGARA JUGA KERANA MAHATHIR YANG SENTIASA KEMARUK KUASA

 

Di samping dibelenggu oleh pentadbiran kerajaan yang gagal sehingga hampir semua perkara dalam negara jadi celaru dan haru-biru, kita juga sebenarnya berdepan dua masalah pokok yang lain.

Pertama, Mahiaddin Md Yasin yang bukan saja gagal dan tiada keupayaan kepimpinan di mana faktor tersebut memberi sumbangan paling besar kepada lahirnya kerajaan yang gagal, lebih buruk beliau juga menampakklan ciri-ciri seorang yang gila kuasa.

Apabila kedudukan sokongannya diragui, kalau pun tidak mahu mengambil sikap paling terpuji iaitu mengundurkan diri, beliau sepatutnya berani membawa usul percaya atau membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan terhadapnya.

Dengan yang demikian, kedudukannya selepas itu tidak lagi menjadi pertikaian sesiapa.

Menangguh-nangguh sidang Parlimen, tidak membenarkan usul percaya atau tidak percaya dan kemudian menggantung Parlimen melalui perlaksanaan darurat di ketika keabsahannya diragui adalah pendekatan pengecut dan “tak bertelor” seorang pemimpin.

Seorang pemimpin mesti berani dan tidak takut menghadapi apa juga cabaran, termasuk kemungkinan dijatuhkan kerana disitulah letaknya tunjang kewibawaan.

Orang penakut bukan saja tidak layak menjadi pemimpin, kalau jadi pengikut pun biasanya hanya memilih tempat di barisan paling belakang sekali.

Memimpin negara adalah suatu amanah, jika gagal, peranan seseorang itu akan dipersoalkan, malah di akhirat nanti pun pemimpin akan menjadi antara golongan pertama dipanggil mengadap Tuhan untuk ditanya berkaitan kepimpinan dan perlaksanaan amanah yang dipertanggungjawab terhadapnya.

Dengan apa yang dilakukan Mahiaddin untuk mengekal dan mempertahankan kuasanya selama ini, tanpa keraguan beliau adalah seorang yang boleh dikategori sebagai gila kuasa sebenarnya.

Sudahlah tidak mampu memimpin, negara jadi haru-biru dan rakyat jadi tambah derita, sokongan majoriti pula menjadi keraguan dan kemudian melakukan perkara-perkara luar biasa untuk menongkat jawatannya, tidak rasa malukah dalam hati Mahiaddin mengambil gaji dan elaun lumayan setiap bulan untuk menyara hidup dan keluarganya?

Masalah kedua negara kita ialah Tun Mahathir Mohamad yang masih kemaruk dan tak puas-puas mahu mengejar kuasa.


Beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali – kali pertama antara 1981 hingga 2003 iaitu selama 22 tahun dan kemudian selama 22 bulan antara 2018 hingga 2020 yang lalu.

Selepas kali pertama meletakkan jawatan pada 2003 dan berulang kali mengatakan akan bersara sepenuhnya serta tidak akan bertanding semula dalam pilihanraya, dalam tempoh persaraannya, beliau bukan saja memusuhi semua Perdana Menteri selepasnya, bahkan kembali menjadi Ahli Parlimen pada 2018 lalu.

Setelah menjadi Perdana Menteri, meski diikat dengan janji yang disaksikan malaikat di langit dan manusia di bumi, pelbagai usaha cuba dilakukannya untuk menjadi pemungkir demi tak puas dengan kuasa dan untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi penggantinya.

Berikutan berlakunya Langkah Sheraton, beliau telah meletakkan jawatannya, meski dinasihat oleh Agong agar jangan berbuat demikian.

Sebelum itu, pada petang hari berlangsungnya Langkah Sheraton, semua pemimpin politik yang telah dijinakkannya sejak 22 bulan beliau berkuasa telah pun berkumpul di kediamannya di Sri Kembangan untuk tujuan meletakkannya semula sebagai Perdana Menteri melalui gabungan baharu.

Ia adalah fakta yang menunjukkan Langkah Sheraton memang sebahagian perancangan yang direstui Tun Mahathir, cuma di saat-saat akhir beliau menyerlahkan niat sebenarnya mahu mewujudkan kerajaan perpaduan yang disokong semua parti.

Itulah sebabnya beliau berkeras mahu meletakkan jawatan dan menolak nasihat Agong agar tidak berbuat demikian.

Sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri interim, Tun Mahathir tidak berlengah lagi memperkenalkan idea mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang menjadikannya bukan saja Perdana Menteri lebih berkuasa, malah tidak lagi terikat dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar.

Cuma, malangnya perkara itu tidak dipersetujui oleh UMNO dan Pas yang membuatkan kedua-dua parti itu menarik sokongan mereka.

Oleh kerana ideanya itu ditolak, di situlah terbukanya peluang Mahiaddin menjadi Perdana Menteri, sedangkan perancangan pada peringkat awal menjatuhkan PH ialah hanya untuk membuang PKR, DAP dan Amanah serta mengenepikan janji kepada Anwar dengan Tun Mahathir masih kekal sebagai Perdana Menteri, sementara Mahiaddin akan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Disebabkan perancangan kerajaan perpaduan itu gagal, Tun Mahathir kemudiannya kembali mendapatkan sokongan PH, tetapi beliau tetap enggan meletakkan Anwar sebagai calon timbalannya.

Setelah Mahiaddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan kedudukan majoritinya kekal dipertikaikan, Tun Mahathir tidak berhenti lagi berusaha mahu menjadi Perdana Menteri, kali ini dengan janji hanya selama enam bulan dan selepas itu akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Beberapa kelompok dalam PH sendiri ramai terpedaya dengan janji enam bulan itu, bahkan ada yang lantang memberi tekanan kepada Anwar bahawa mereka akan menarik sokongan dan menjatuhkan Tun Mahathir selepas enam bulan kiranya janji itu tidak dipenuhi.

Alhamdulillah, Anwar dan PKR tidak terpedaya dengan janji manis yang cuba memperdayanya itu.

Gagal memujuk Anwar dan PKR, Tun Mahathir kemudian mencuba lagi untuk berkuasa dengan bergabung pula dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Entah apa yang dijanjikannya kepada Ku Li sehingga ramai rasa hairan bagaimana Ahli Parlimen Gua Musang itu sanggup tampil mengadakan sidang media secara bersama Tun Mahathir.

Apabila usaha tersebut tidak menjadi kenyataan, Tun Mahathir dengan selamba akhirnya menyalahkan Ku Li dengan mendakwa bekas Menteri Kewangan itu gagal menarik walau seorang pun Ahli Parlimen UMNO untuk bersamanya.

Langkah terbaru Tun Mahathir untuk kembali berkuasa tiba-tiba muncul dengan beliau mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran dengan menawarkan dirinya sebagai ketua, namun berikutan kecaman banyak pihak berkaitan cadangan yang merupakan langkah ke belakang itu, beliau kemudian menukar idea Maheran kepada penubuhan Majlis Pemulihan Negara.

Yang menjadi persoalan, ketika menghadap Agong baru-baru ini, yang dipersembahkannya adalah Mageran atau Majlis Pemulihan Negara?

Apa yang jelas, semua langkah, usaha dan tindakan yang diambil oleh Tun Mahathir sejak meletak jawatan dan menolak nasihat Agong supaya tidak berbuat demikian, hanyalah semata-mata untuk kembali berkuasa semula.

Jika apa yang dilakukan itu bukan kerana mengalami gejala tak puas-puas dengan kuasa, barangkali ia lebih tepat dinamakan kemaruk kuasa.

Kalau dengan adanya Mahiaddin yang gila kuasa membuat negara jadi celaru dan haru-biru, selagi adanya Tun Mahahir yang kemaruk kuasa pula, maka selagi itulah negara ini tidak akan ke mana-mana.

Tindak-tanduk Tun Mahathir sejak 2003 hingga sekarang langsung tidak membawa kebaikan untuk negara, malah mencipta lebih banyak kerosakan dan kekacauan, sementara sejak 14 bulan berkuasa pula, Mahiadrin hanya berjaya memperkenalkan Malaysia sebagai negara gagal semata-mata.

Tanpa mereka berdua, lebih-lebih lagi masalah utama dalam negara sekarang ialah kepimpinan negara yang tidak berupaya sehingga terlahir kerajaan yang gagal, itulah sebenarnya penyelesaian untuk mara dan bergerak ke hadapan.

Bagaimana dengan Anwar, tidakkah beliau juga gila kuasa dan kemaruk kuasa?

Oleh kerana Anwar belum menjadi Perdana Menteri, beliau sama sekali bukan seorang yang gila kuasa, jauh sekali dijangkiti simpton kemaruk kuasa.

Anwar lebih sesuai dipanggil pemburu kuasa dan perkara itu adalah biasa bagi mana-mana pemimpin selagi mereka mempunyai sokongan serta dokongan yang munasabah di belakangnya untuk diangkat menerajui negara.

Anwar hanya akan menjadi seorang yang gila kuasa jika setelah menjadi Perdana Menteri nanti, beliau turut melakukan seperti apa yang Mahiaddin lakukan atau kalau setelah bersara, tetapi meniru sama perangai seperti Tun Mahathir. 


(ShahbudinHusin 13/06/2021)




No comments: