KENYATAAN MEDIA

 KENYATAAN MEDIA

13 Jun 2021

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Takiyuddin Hasan mengenai Jemaah Menteri yang akan menasihati KDYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong samada darurat perlu dilanjutkan atau tidak sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Sedia maklum bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan peranan atau tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan kepada Jemaah Menteri sesuai Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yakni KDYMM Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat.

Pada 12 Jan 2021 Perdana Menteri mengumumkan darurat berkuatkuasa di negara kita. Hal ini setelah KDYMM Yang di-Pertuan bersetuju dengan nasihat Jemaah Menteri yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan sesuai Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan telah diisytiharkan Proklamasi Darurat. Seterusnya pada 14 Jan 2021 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dibuat dan berkuatkuasa.

Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ini diperuntukkan penubuhan jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk Jawatankuasa ini menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri. Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitulah “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya”. Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih ujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong.

Sudah tentulah kenyataan Menteri Takiyuddin ini amat mengelirukan sekaligus menimbulkan beberapa persoalan:

• Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati KDYMM Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambilalih oleh Jemaah Menteri?

• Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati KDYMM Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?

• Jika itu benar apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diujudkan?

Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong saya ingin memohon Menteri Takiyuddin Hasan segera tampil memberikan penjelasan. Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini.

Saifuddin Nasution Ismail

Setiausaha Agong KEADILAN

Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu

No comments: