Polis KL dilontar mercun ketika suraikan 200 orang


Satu letupan kuat berlaku dan hampir terkena anggota polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul di kawasan letak kereta di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, tengah malam tadi.

PETALING JAYA: Sepasukan anggota polis nyaris cedera selepas dilontar mercun ketika mengawal aktiviti berkumpul melibatkan kira-kira 200 individu di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat aktiviti membakar mercun secara terbuka di kawasan tersebut.

“Sebaik tiba, kami mendapati kira-kira 200 individu dipercayai penduduk pangsapuri berkenaan berkumpul di kawasan tempat letak kereta dan sedang bermain mercun.

“Keadaan menjadi sangat tegang dengan letupan mercun yang tidak terkawal, apabila kehadiran polis disedari penduduk pangsapuri terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai tidak mengendahkan amaran polis bertugas untuk menghentikan perbuatan bermain mercun.

“Semasa pihak polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir terkena anggota polis yang sedang bertugas di lokasi kejadian.

“Letupan terbabit dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar kepada pihak polis. Selepas letupan itu berlaku, orang ramai segera beredar dari kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya mengawal keadaan di lokasi kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan.

Sehubungan itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil, kerana menakutkan secara jenayah dan larangan membakar bunga api, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482206,” katanya.



No comments: