Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula dan menambahbaik proses pelantikan ketua polis negara bagi meningkatkan integriti jawatan tersebut serta menambahkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan ketua polis menjalankan tugas dengan bersih, adil dan saksama.
Pada 1 Mei, Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri, telah
mengumumkan Acryl Sani Abdullah sebagai ketua polis negara bagi
menggantikan Hamid Bador.
Bersih 2.0 menzahirkan kebimbangan terhadap perbualan Hamzah
bersama seorang individu yang tidak diketahui untuk membincangkan calon untuk
ketua polis negara. Perbincangan yang bocor di media sosial dan telah diakui oleh
Hamzah antara lain menyebut bahawa mereka perlu melantik “budak
kita” untuk menjadi ketua polis.
Pengakuan ini sangat membimbangkan disebabkan keputusan ini
sepatutnya dibuat oleh Suruhanjaya Pasukan Polis berdasarkan kriteria-kriteria
yang objektif dan bukan calon itu budak kepada sesiapa kerana ketua polis
negara perlu menjalankan tugas dengan profesional dan tidak berpihak kepada
mana-mana pihak.
Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Hamzah juga
perlu mengumumkan kriteria yang digunakan oleh mereka untuk melantik ketua
polis agar rakyat dapat menilai sejauh mana kompetensi beliau.
Untuk memastikan proses pelantikan ketua polis negara lebih
telus dan berakauntabiliti, Bersih 2.0 mencadangkan agar Suruhanjaya Pasukan
Polis membentuk satu panel penasihat penilaian yang akan mencadangkan tiga
calon ketua polis negara kepada Suruhanjaya Pasukan Polis. Suruhanjaya ini
kemudiannya akan memilih seorang calon dan menghantarnya kepada Jawatankuasa
Pilihan Khas Parlimen untuk disahkan. Selepas pengesahan daripada jawatankuasa
ini, Suruhanjaya Pasukan Polis akan mempersembahkan calon yang terpilih kepada
Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai ketua polis.
Kini, proses pelantikan ketua polis negara termaktub di dalam Perkara
140 Perlembagaan Persekutuan di mana Suruhanjaya Pasukan Polis, yang
dipengerusikan oleh seorang menteri persekutuan, akan mencalonkan kepada Agong
untuk melantik ketua polis. Jawatan ini walaupun dilantik oleh Agong, namun
Bersih 2.0 berpandangan proses sebelum nama calon dibentangkan kepada Agong
untuk pelantikan boleh ditambah baik untuk meningkatkan ketelusan dan integriti
jawatan ketua polis.
Support
the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Schedule an auto donation to Aliran
every month or every quarter
Proses pelantikan jawatan pegawai utama kerajaan seperti ketua
polis negara adalah amat penting dan perlu melalui Parlimen agar pelantikannya
benar-benar telus, berakauntabiliti serta berdasarkan merit dan bukannya dibuat
kerana kecenderungan oleh menteri semata-mata.
Bersih 2.0 juga mencadangkan agar kerajaan menggubal rang
undang-undang pelantikan dan pemecatan jawatan pegawai utama kerajaan 2021 agar
segala proses pelantikan dan pemecatan jawatan-jawatan utama kerajaan dapat
diperhalusi oleh rakyat bagi menambahbaik proses pelantikan yang sedia ada
sekarang.
Penglibatan Parlimen juga adalah penting dalam proses pelantikan
yang telus dan tidak terhad hanya sekadar menggubal undang-undang atau
peruntukan kepada pihak berkuasa sahaja.
Bersih 2.0 juga mengharapkan agar Ketua Polis Negara yang
baharu, Acryl Sani Abdullah, dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau
pilih kasih dan benar-benar mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat. –
Bersih 2.0