Tunai janji, pengerusi PAC beritahu speaker Dewan Rakyat

Jason Thomas

May 13, 2021 
51Shares
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Wong Kah Woh mahu Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun membenarkan jawatankuasa khas Parlimen terus beroperasi semasa darurat.

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Wong Kah Woh mahu Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menunaikan janjinya untuk membenarkan jawatankuasa khas terus beroperasi semasa Darurat.

Menurut laporan Utusan Malaysia baru-baru ini Wong berkata, PAC “lumpuh” susulan perisytiharan darurat kerana ia tidak dapat bermesyuarat.

Azhar bagaimanapun menolak dakwaan itu dengan berkata, semua perbelanjaan kerajaan semasa darurat akan diaudit oleh Parlimen dan PAC sebaik sahaja perintah itu tamat.

“Saya mengingatkan speaker kepada kenyataannya pada 12 Januari bahawa Parlimen tidak bersidang semasa darurat, tetapi memberi jaminan bahawa PAC dan jawatankuasa pilihan Parlimen akan terus menjalankan tugasnya dalam proses semak dan imbang,” katanya kepada FMT.

“Tetapi respons terbaharu speaker Dewan Rakyat menunjukkan kenyataan saya kepada Utusan (Malaysia) tepat. Saya tahu kita boleh bersidang semula selepas darurat.

“Soalan saya, oleh sebab tiada persidangan atau prosiding dari Januari hingga Ogos, bagaimanakah kita mahu menyemak perbelanjaan kerajaan (sekarang)? Apakah yang patut kita buat dalam tempoh tujuh, lapan bulan ini jika kita tidak boleh menjalankan mandat yang diberikan oleh Parlimen?

Wong berkata, antara dua isu utama yang perlu diteliti oleh PAC ialah pertambahan peruntukan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dari RM3bilion ke RM5bilion dan pindaan undang-undang yang membenarkan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM16.9 bilion bagi menampung perbelanjaan vaksin Covid-19.

Mengambil maklum bahawa kerajaan membelanjakan “banyak wang” untuk mengawal Covid-19, Wong berkata, jika Parlimen tidak bersidang, maka PAC harus dan perlu memainkan peranannya sebagai platform semak dan imbang.

“PAC sedia bekerja, tetapi kita terhalang oleh perisytiharan darurat,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Dalam kenyataan pada 12 Januari, Azhar berkata, semua persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditangguhkan semasa darurat.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen perlu terus menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat kerana penangguhan itu tidak bermakna Parlimen dibubar.

Charles Santiago

“Oleh itu, semua kaukus, jawatankuasa pelbagai parti dan jawatankuasa pilihan Parlimen yang diwujudkan akan terus berjalan, melainkan jika aktivitinya dihalang oleh mana-mana ordinan yang dipinda oleh Yang Di-pertuan Agong berdasarkan perlembagaan,” kata Azhar.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, Azhar tidak salah dengan menyebut bahawa PAC boleh menjalankan tugasnya apabila darurat tamat.

“Beliau mahu dilihat berwibawa dengan kenyataan itu, tetapi jelas bahawa sebaik sahaja Parlimen ditangguhkan, semua aktivitinya juga terhenti,” katanya kepada FMT.

“Oleh sebab Parlimen ditangguhkan, maka semua peranan jawankuasa pilihan juga tidak wujud lagi.”

Bagaimanapun Santiago berkata, dengan Ordinan Darurat membenarkan kerajaan membelanjakan wang dan mewujudkan undang-undang baharu, maka gesaan berkait semak dan imbang tidak dapat dielakkan.

“Darurat memberikan kepada kerajaan kebebasan untuk melakukan apa-apa yang ia mahu,” katanya.

“Tiada akauntibiliti di situ.”



No comments: