Mana ada negara bertamadun ubah PKP dalam 5 hari?
Kerajaan Malaysia jelas sengaja tidak mahu belajar menangani wabak Covid 19 yang telah melanda negara ini sejak setahun lalu.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keputusan terbaharu menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di beberapa negeri kemudian menjadi PKP di seluruh negara, ditukar dalam masa 5 hari.
“Kita cuba PKP setahun lalu, guna darurat Covid merebak juga. Kita tekan peniaga kecil tetapi kilang besar terus beroperasi. Walau ada jangkitan Covid 19, kilang masih berjalan. Kalau ada kes baru ambil tindakan. Tetapi mengapa hal yang sama tidak dikenakan kepada golongan kecil.
“(Sepatutnya dikenakan) syarat yang ketat dan dibuat keputusan. (Masalah buat keputusan) mana ada negara negara bertamadun boleh buat keputusan beberapa jam kemudian tukar. Hari ini PKP bersasar, petang tukar PKP seluruh negara?
“Apa jadi dengan kepimpinan, mana Perdana Menteri? Mana penyelarasan? Mengapa tidak ada pertemuan dia antara kementerian? Bila kepimpinan tidak bertanggungjawab, tidak ada ketelusan, rakyat yang terbeban.
“Saya tekankan dalam soal ini, profesional kesihatan kerajaan, profesional kesihatan swasta, disiplin dalaman, luar negara semua perlu dirangkulkan.
“Kalau kita tengok rakyat tidak puas hati. Peraturan boleh pilih kasih, ada orang besar yang dilepaskan, orang bawah ditekan. Kemudian bila dibuka ruang untuk buka perniagaan, kenapa hanya memilih industri besar dan menekan peniaga kecil?” tanyanya dalam siaran langsung di Facebook.
Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan itu memberi amaran bahawa wabak Covid merupakan masalah yang serius dan tidak boleh dipandang remeh.
Katanya, pesakit yang berada di unit rawatan rapi dan menggunakan alat penafasan telah meningkat. Kategori pesakit pula mula memperlihatkan peningkatan dalam kalangan golongan lebih muda dan tidak kepada yang berusia seperti sebelum ini.
“Ramai anggap Covid melibatkan pesakit berumur lebih 60 tahun tetapi kita lihat peningkatan wabak kepada golongan muda, 25 dan 50 tahun kian meningkat. Maknanya tidak ada pilihan umur sama ada muda atau tua
“Apakah langkah yang diambil? Pada bulan Mei 2021, menteri menyebut akan dapatkan staf tambahan dan akan menyediakan 75,000 vaksin setiap hari. Kalau ini dilakukan akan selesai masalah.
“Tetapi apa yang kita saksikan adalah jumlah yang jauh lebih kecil yang tidak sampai unjuran. Saya sampaikan ini kerana bila diumumkan semua bertepuk tangan tetapi vaksin entah ke mana, kita tanya dari mana vaksin, berapa jumlah, kos, semua tiada jawapan. Yang ada hanyalah 75,000 vaksin akan disediakan.
“Apa yang berlaku, sekarang ini 25,000 vaksin sehari, kita capai lebih sejuta. Kalau ikut unjuran Januari lalu kita sepatutnya capai 25 juta. Apakah dasar yang digunakan untuk menetapkan unjuran itu?” tanyanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menempelak kaedah baharu yang dinamakan Libat Urus Dinamik (HIDE). Kaedah itu, katanya telah digembar-gemburkan sebagai terbaik dalam mengesan penyebaran Covid.
Namun setelah dilancarkan pada 8 Mei, sehari selepasnya terjadi huru hara dan dikritik rakyat terbanyak.
“Bila kita gunakan big data dan kecerdasan buatan (AI) dalam HIDE, dia tidak boleh berselindung di belakang black box, kerana model itu setiap unjuran yang digunakan dan kaedah mesti diberitahu. Kalau diperkenalkan tanpa ketelusan maka penerimaan rakyat akan dipertikaikan.
“Dalam Jawatankuasa Khas (di bawah Ketua Pembangkang) yang memberi nasihat kepada Jawatankuasa Darurat (juga menggunakan kaedah big data). Big data dan AI mesti berupaya dibuat penilaian bebas oleh pakar-pakar. Tetapi syaratnya mesti telus dan bekerjasama dengan pakar-pakar lain. Ada di UM, UKM, syarikat swasta kemudian digabungkan dan disampaikan.
“Apa yang dibuat dalam jawatankuasa khas (Ketua Pembangkang) adalah untuk memastikan kita punyai keupayaan. Tetapi ini tidak berlaku (tidak mendapat kerjasama kerajaan) dan dibangkitkan pula soal kerahsiaan maklumat peribadi. Tidak ada sesiapa yang minta maklumat peribadi, yang diminta kategori daerah, umur dan sebagainya,” katanya lagi.
Anwar juga mempertikaikan sikap para menteri di Malaysia yang seramai 70 orang tetapi tidak mampu memikirkan langkah konkrit dalam menyelesaikan masalah Covid 19.
Katanya, fasa memerangai Covid masuk ke arah suntikan vaksin dan bukan lagi fasa melakukan ujian saringan sebagaimana yang dilakukan hari ini.